Ganja bernilai RM500,000 ditinggalkan di Kuala Perlis - Utusan Malaysia

Ganja bernilai RM500,000 ditinggalkan di Kuala Perlis

ISMAIL Hashim (dua dari kiri) menunjukkan ganja yang dirampas menerusi dua operasi berlainan di sekitar Kuala Perlis pada akhir bulan lalu dalam sidang akhbar di Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah dipercayai jenis ganja seberat 91.50 kilogram (kg) bernilai hampir RM500,000 menerusi dua operasi berlainan pada akhir Oktober lepas.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, bagi kes pertama, tindakan licik sindiket pengedaran yang cuba berselindung dengan meninggalkan dadah dipercayai ganja di atas pokok bakau gagal apabila modus operandi itu berjaya dikesan anggota penguatkuasa.

Ismail berkata, dalam kejadian pada 24 Oktober lalu, pasukan operasi daripada Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis telah membuat pemeriksaan di kawasan pokok bakau Pulau Ketam, pintu masuk Kuala Perlis, di sini, sekitar pukul 1.30 pagi hasil daripada maklumat risikan.

“Pemeriksaan dilakukan telah menemukan dua bungkusan guni putih dan satu bungkusan plastik ditinggalkan di atas pokok dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan rapi terhadap semua bungkusan telah membawa kepada penemuan 39 ketulan mampat dan 12 bungkusan plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dengan berat dianggarkan 41.50 kilogram bernilai RM378,000,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Kastam negeri, di sini, hari ini.

Ismail berkata, bagi kes kedua, serbuan telah dilaksanakan di kawasan jeti persendirian yang disyaki sudah tidak beroperasi di kawasan tebing sungai Kuala Perlis, di sini, pada 28 Oktober lepas.

Katanya, hasil serbuan sekitar pukul 8 malam itu telah membawa kepada penemuan tiga bungkusan guni yang ditinggalkan di atas pelantar jeti tersebut.

“Pemeriksaan lanjut terhadap guni itu mendapati terdapat 50 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 50 kilogram bernilai RM155,000,” katanya.

Beliau berkata, ganja yang ditinggalkan itu juga dipercayai akan diambil oleh individu lain yang mempunyai hubungan dengan sindiket tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN