‘Filem anti komersial tidak ramai sudi labur’ - Utusan Malaysia

‘Filem anti komersial tidak ramai sudi labur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam industri perfileman yang semakin dikuasai oleh naskhah komersial, dari filem seram hingga komedi ringan yang menjanjikan kutipan juta-jutaan, masih ada segelintir insan seni yang memilih jalan sukar.
Salah seorangnya ialah Oki Setiana Dewi, pelakon, pendakwah, dan pempengaruh Indonesia yang kini menetap di Mesir.

Ketika ramai penerbit berlumba-lumba melabur dalam karya yang ‘pasti untung’, Oki pula tekad menjayakan filem yang hampir tidak menjanjikan pulangan besar, tetapi membawa nilai kemanusiaan dan perjuangan yang jauh lebih tinggi.

Itulah realiti di sebalik penghasilan filem terbarunya, Hayya 3: Gaza.

Menurut Oki, filem berunsur kemanusiaan seperti Hayya 3: Gaza jarang mendapat tempat di hati penerbit, kerana dianggap berisiko dan tidak komersial.

Namun baginya, mesej yang ingin disampaikan jauh lebih penting daripada angka di box office.

“Jika kita lihat di Indonesia, Malaysia, dan negara-negara lain, gerakan kesedaran terhadap Gaza dilakukan dalam pelbagai bentuk. Bagi para usahawan, mereka menghasilkan produk seperti beg, pakaian dan pelbagai karya lain untuk menunjukkan sokongan mereka.

“Bagi kami yang bekerja dalam bidang perfileman, kami memilih untuk menghasilkan filem ini sebagai tanda keprihatinan kami terhadap Palestin.

“Bukan mudah untuk menghasilkan filem seperti ini, sebab itulah tidak ramai yang melakukannya. Jika ia mudah dan memberi keuntungan besar, tentu ramai akan berlumba-lumba membuat filem seumpamanya, sebagaimana filem seram yang sering mendapat sambutan dan keuntungan tinggi.

“Namun bagi saya sendiri, tujuan menghasilkan filem bukanlah semata-mata untuk mengejar keuntungan, tetapi sebagai satu cara untuk menyebarkan ilmu, kesedaran, dan pengajaran,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Oki, dia berbangga kerana meskipun keadaan itu berlaku, masih ramai terutama kalangan penonton yang menyokong usaha murni tersebut.

Malah, ketika ditayangkan di Indonesia, Oki berkata, ia mendapat sambutan daripada peminat dan penyokong filem di sana.

“Sambutan di Indonesia terhadap filem ini, Alhamdulillah, sangat baik. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa filem bergenre seram lebih diminati, namun filem ini tetap mendapat perhatian ramai, termasuk kanak-kanak dan remaja.

“Selepas menonton, ramai yang berdiskusi tentang apa yang sebenarnya berlaku di Palestin. Ramai yang tidak mengetahui mengapa perjuangan untuk Palestin perlu diteruskan dan siapa sahaja tokoh yang berperanan besar di dalamnya, semua itu digambarkan dalam filem ini.

“Filem ini bukan sahaja ditayangkan di pawagam, malah selepas tayangan, ramai penonton berbincang dan berkongsi pandangan. Seperti yang telah saya sebut, 40 peratus keuntungan daripada filem ini akan disalurkan kepada Gaza, Palestin, manakala selebihnya akan digunakan untuk menghasilkan filem-filem kebaikan yang seterusnya,”katanya.

KISAH PELARIAN DI MESIR
Dalam pada itu, kongsi Oki, dia kini sudah dua tahun menetap di Mesir bagi menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin, sambil membesarkan anak-anaknya di perantauan.

Menurut Oki, kehidupannya di bumi anbiya itu bukan sekadar tentang menimba ilmu, tetapi turut memberi peluang untuk menyumbang kepada masyarakat, khususnya pelarian Palestin yang ramai berada di sana.

“Saya sering bekerjasama dengan NGO dari Malaysia dan Indonesia untuk menyampaikan bantuan seperti dana, makanan, dan pakaian kepada pelarian di Mesir.

“Saya bersyukur kerana dengan tinggal di sana, saya dapat menjadi pengantara untuk menyampaikan bantuan tersebut secara langsung,” ujar Oki.

Selain itu,katanya, dia dijangka akan terus menetap lama di sana agar anak-anaknya dapat meneruskan pembelajaran di Mesir, selain berhasrat menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun dan menyambung ke peringkat lebih tinggi.

Namun di sebalik kesibukan sebagai pelajar dan ibu, Oki turut menzahirkan rasa simpati mendalam terhadap nasib para pelarian Palestin yang ditemuinya.

“Saya banyak mendengar kisah menyayat hati. Ramai dalam kalangan mereka terdiri daripada ibu dan anak-anak yang terpisah daripada suami yang masih berada di Gaza.

“Kehidupan mereka di medan perang sangat sukar, makanan mahal, sukar diperoleh, dan ada yang berisiko kehilangan nyawa semasa mencari bekalan akibat serangan bom,” katanya.

Oki turut berkongsi bahawa dia memiliki sebuah pusat perlindungan di Indonesia yang kini menempatkan seorang guru dari Gaza.

“Beliau datang ke Indonesia sebulan sebelum perang meletus. Kini sudah dua tahun beliau menetap di sana dan dapat mengirimkan wang kepada keluarganya di Gaza,” jelasnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN