Fadlun Mak Ujud dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu

Fadlun Mak Ujud dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk  Fadlun Mak Ujud, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa esok selepas menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selaras dengan Subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, Fadlun merupakan orang perancang bandar berpengalaman luas dengan rekod perkhidmatan yang kukuh dalam pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.

“Fadlun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan memiliki lebih 28 tahun pengalaman dalam bidang perancangan bandar. Kepakaran itu turut digarap sepanjang beliau menerajui Perbadanan Putrajaya sebagai Presiden sejak 2022.

“Sepanjang memimpin Perbadanan Putrajaya, beliau memacu pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip kelestarian dan inklusiviti.

“Fadlun turut merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia, selain aktif menyertai forum dan jaringan profesional antarabangsa yang memperkukuh pandangan strategiknya dalam pembangunan bandar moden,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Zaliha, pelantikan itu diyakini mampu meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan fokus kepada integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat.

Katanya, kepimpinan Fadlun diharapkan terus memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai ibu kota global yang berdaya saing dan berdaya huni, seiring dengan nilai Madani

Dalam pada itu, Zaliha turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif atas sumbangan besar sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Zaliha turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Maimunah sebagai Penasihat Hartanah Petronas dan percaya kepakarannya akan terus dimanfaatkan dalam agenda pembangunan strategik negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN