SHAH ALAM : Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira, 51,mengakui memberi kebebasan kepada puteri tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran,16, untuk menceburi bidang penulisan dan penerbitan buku.
Erra atau Fazira Wan Chek berkata, tiada sebarang halangan untuk Aleesya menerokai sebarang kerjaya termasuk jika dia meminati arena hiburan.
Bagaimanapun ia bergantung kepada kemahuan sendiri.
“Saya sebenarnya tiada halangan untuk Aleesya menjadi penulis. Tetapi saya galakkan dia untuk jadikan bidang ini sebagai punca pendapatan sampingan.
“Kalau boleh saya mahu dia belajar lagi dan terokai bidang lain-lain juga. Kalau dia mahu jadi veterinar, pakar psikologi atau terbabit dalam bidang hiburan sekali pun, dia boleh jadikan penulisan ini sebagai sampingan.
“Kalau dia minat hiburan saya lebih galakkan dia untuk jadi pengacara. Cuma, sekarang ini macam ada ‘berlian’ dalam mulut dia, introvert. Jika dia minat menyanyi saya hantar ke kelas vokal,”katanya.
Erra berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Buku Kanak-Kanak Pertama Little Nina and The Adventure of Fatimah Az Zahra oleh Engku Aleesya Engku Emran di sini, hari ini.
Selain itu, Erra meluahkan rasa bangga dengan bakat yang dimiliki anaknya itu yang berjaya menerbitkan sebuah buku sulung di usia muda.
Pada masa sama, Erra kagum Aleesya sudah menunjukkan minat terhadap penulisan dan pembacaan buku sejak kecil.
“Saya bukan mahu memuji anak tetapi saya kagum dengan ideanya yang saya sifatkan di luar kotak dalam penulisan. Sejak kecil dia sudah tunjukkan bakat menulis.
“Sebagai seorang yang pemalu, segala perasaan dicurahkan menerusi penulisan, macam saya dulu sebelum adanya gajet. Saya suka menulis dan membaca, bahkan karangan saya dahulu sering menjadi contoh kepada rakan sekelas,”katanya.
Sementara itu, bapa Aleesya, Engku Emran berkata, dia juga memberi galakkan kepada anaknya itu untuk menulis buku dalam bahasa Inggeris yang mudah difahami oleh golongan kanak-kanak.
“Waktu dia menulis buku ini, dia baru berusia 14 tahun dan ketika itu tidak sesuai lagi dia untuk dia menulis kisah cinta remaja. Saya mahu dia menulis buku yang mampu memberi inspirasi kepada golongan kanak-kanak.
“Saya tak mahu letak sasaran tinggi untuk dia, cukup untuk di menulis buku yang mudah difahami walaupun dia sendiri membaca buku-buku untuk pembaca dewasa,”katanya.
Dalam pada itu, cetakan buku pertama Aleesya ini telah diterbitkan oleh Tertib Publishing sebanyak 1,000 naskhah dan setakat ini telah terjual sebanyak 50 peratus. -UTUSAN
Habis










