SYDNEY: Taufan tropika melanda Wilayah Utara, Australia dengan tiupan angin mencecah 110 kilometer sejam (km/j) yang menumbangkan pokok, lampu isyarat serta memutuskan bekalan elektrik di beberapa kawasan termasuk ibu kota Darwin yang menjejaskan lebih 19,000 penduduk.
Pihak berkuasa turut menasihati penduduk Darwin supaya menjauhi kabel elektrik yang tumbang ketika pasukan penyelamat memulakan penilaian kerosakan.
Lapangan Terbang Antarabangsa Darwin turut ditutup sejak semalam sebagai langkah berjaga-jaga.
Taufan Tropika Fina yang berlegar di perairan Wilayah Utara selama beberapa hari sebelum itu, tiba-tiba meningkat ke kategori ketiga dan bergerak di antara bandar pesisir Darwin serta Kepulauan Tiwi, gugusan pulau kira-kira 80 kilometer dari pantai yang turut merekodkan tiupan angin kencang sehingga 110km/j.
Menurut ahli ramalan Biro Meteorologi, Angus Hines, taufan yang sangat merosakkan itu kini bergerak meninggalkan wilayah itu, namun hujan lebat dan angin kuat dijangka berterusan hari ini.
Ketua Menteri Northern Territory, Lia Finocchiaro menyifatkan keadaan itu sebagai malam yang menakutkan buat semua penduduk.
“Saya menunggu laporan pagi ini dengan penuh debaran dan setakat ini tiada kecederaan dilaporkan.
“Namun memang banyak pokok tumbang, kerosakan pada harta benda dan talian elektrik putus,” katanya kepada penyiar nasional ABC.
Rakaman turut menunjukkan hujan lebat mencurah-curah dari bumbung ketika puncak taufan, selain pokok besar tumbang menghempap halaman rumah dan jalan raya.
Di Hospital Royal Darwin, sebahagian struktur bumbung runtuh, menyebabkan bata dan serpihan bertaburan di laluan utama.
Taufan Fina kini bergerak ke arah perairan Western Australia dan ramalan menunjukkan ia mungkin meningkat kepada kategori empat.
Bagaimanapun, pihak berkuasa cuaca pada 23 November menjangkakan taufan itu tidak akan melanda daratan dan akan beransur-ansur melemah dalam beberapa hari akan datang.-AFP










