AMPANG JAYA: Kegiatan licik sindiket minyak pelincir kenderaan tiruan terbongkar apabila enam kilang yang menghasilkan produk itu digempur pihak berkuasa di Kampung Baru Ampang di sini, hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 10 pagi tadi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan wakil cap dagangan telah merampas minyak pelincir kenderaan tiruan pelbagai jenama bernilai RM1 juta.
Pengarah KPDN Selangor, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, turut ditahan seramai 42 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.
Mohd. Zuhairi berkata, kilang pertama berperanan membuat botol sebelum dihantar ke kilang seterusnya bagi tujuan memproses dan memasukkan minyak pelincir kenderaan tiruan ke dalam botol.
“Botol berkenaan akan diletak pelekat atau nombor siri bagi meyakinkan pembeli atau pengguna minyak tersebut, seolah-olah baharu dan tulen.
“Selepas itu, sindiket akan menjadikan sebuah lagi kilang sebagai stor penyimpanan dan pejabat urusan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi hari ini.
Mohd. Zuhairi berkata, serbuan dijalanan hasil risikan selama dua bulan.
Jelasnya, modus operandi sindiket yang aktif sejak enam bulan lalu itu adalah menggunakan minyak pelincir terpakai yang disuling semula, sebelum dicampur dengan minyak pelincir asas dan pewarna tiruan sebelum dibungkus untuk dipasarkan.
“Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.
“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan atau dipenjara selama tempoh tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Mohd Zuhairi berkata, sasaran jualan bagi minyak pelincir berkenaan adalah pasaran tempatan dan siasatan masih dijalankan untuk melihat sama ada barangan itu dijual kepada pemborong atau pembekal.
“Setakat ini, kita masih tidak dapat pastikan sama ada minyak pelincir kenderaan itu dijual dengan harga sama dengan pasaran atau rendah dari harga asal,” katanya. – UTUSAN










