KUALA LUMPUR: Pelakon, Uqasha Senrose, 33, memaklumkan sebelum ini telah mencuba sedaya upaya untuk mempertahankan perkahwinan selain memberi peluang kepada suami, Kamal Adli untuk mengubah sikap.
Bagaimanapun kata Uqasha, dia berputus asa dan akhirnya mengambil keputusan untuk menuntut cerai selepas peluang yang diberikan disia-siakan Kamal.
“Empat tahun saya bagi peluang untuk dia berubah, selama kami mendirikan rumah tangga.
“Bukan saya tak cuba, sebenarnya saya sudah berusaha untuk perbaiki sebanyak mungkin dan saya cuba bertahan selama yang mungkin tapi dia tetap tidak berubah.
“Saya sendirian kendalikan masalah ini. Malah saya berjumpa keluarga Kamal terlebih dahulu untuk berbincang mengenai masalah dalaman rumah tangga kami.
“Tapi malangnya tak ada perubahan juga,” katanya yang hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi mengikuti prosiding ketiga dan sesi lantikan jawatankuasa pendamai bagi kes perceraian pasangan berkenaan.
Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen hadir ke mahkamah ditemani peguam syarie, Muhammad Syazmee Sapian serta adiknya, Nelydia Senrose.
Turut hadir adalah Kamal yang ditemani peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh.
Mengulas lanjut, Uqasha dalam masa yang sama memaklumkan telah merujuk keluarga Kamal sebelum mengambil keputusan untuk memfailkan perceraian.
“Saya rujuk keluarga Kamal terlebih dahulu sebab saya tak mahu ada keaiban dari keluarga saya. Saya tak mahu apa yang berlaku ini mendatangkan kemudaratan kepada saya dan anak di kemudian hari.
“Saya harus ambil tindakan sebab saya sayangkan diri saya dan saya masih lagi ada mak ayah. Keluarga saya perlu tahu perkara sebenar yang berlaku dalam rumah tangga kami,” kongsinya.
Dalam pada itu, Uqasha mengambil pendekatan untuk tidak berkongsi lebih mendalam apabila disoal mengenai punca sebenar pergolakan rumah tangganya.
“Cukup saya katakan yang saya nak selamatkan diri saya dan anak daripada kemudaratan fizikal dan mental. Itu sahaja yang dapat saya katakan,” ujarnya.
Terdahulu, Uqasha telah memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur
atas alasan tiada persefahaman dan pergolakan rumah tangga yang berlarutan sejak April 2025.
Kedua pasangan itu difahamkan tidak lagi tinggal sebumbung dengan Uqasha kini menetap bersama ibunya.
Kedua pihak menerusi prosiding yang berlangsung pukul 10 pagi tadi selesai melantik jawatankuasa pendamai masing-masing.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 18 Disember ini sebagai tarikh Prosiding seterusnya.
Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. – UTUSAN









