PETALING JAYA: Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara diunjur meningkat 5.2 peratus pada suku ketiga 2025 berbanding 4.4 peratus pada suku tahun sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, semua sektor menyumbang kepada prestasi ekonomi, terutamanya sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Selain itu, sektor perlombongan dan pengkuarian juga pulih dengan mencatatkan pertumbuhan positif pada suku tahun tersebut.
“Dari segi prestasi suku tahunan, ekonomi Malaysia berkembang 5.5 peratus berbanding 1.0 peratus pada suku kedua 2025,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 4.9 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2025, berbanding 4.2 peratus pada Julai, selaras dengan pertumbuhan KDNK yang stabil.
Jelasnya, peningkatan itu didorong oleh lonjakan ketara dalam sektor perlombongan (16.8 peratus), di samping pertumbuhan berterusan dalam sektor pembuatan (2.8 peratus) dan elektrik (1.6 peratus).
“Secara bulanan, IPP meningkat 2.4 peratus, dengan purata pertumbuhan 2.7 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025.
“Sehubungan itu, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan 2.7 peratus tahun ke tahun dengan nilai jualan RM168.3 bilion pada Ogos 2025 meningkat daripada RM162.5 bilion pada bulan sebelumnya.
“Pertumbuhan ini dipacu terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (9.6 peratus), disokong oleh peralatan elektrik dan elektronik (3.7 peratus) serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam (3.3 peratus).
“Secara bulanan, nilai jualan meningkat 3.5 peratus, menjadikan jumlah kumulatif jualan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025 sebanyak RM1.3 trilion, meningkat 3.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, melihat kepada prestasi Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia, jumlah jualan mencatat RM156.6 bilion pada Ogos, dengan pertumbuhan tahunan 4.9 peratus.
“Prestasi ini disokong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dengan RM69.6 bilion, mencatatkan peningkatan 5.1 peratus, diikuti oleh subsektor perdagangan runcit dengan RM67.3 bilion, meningkat 5.0 peratus.
“Bagi subsektor kenderaan bermotor pula merekodkan RM19.6 bilion dengan peningkatan 4.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Indeks Volum Perdagangan Borong dab Runcit Malaysia menokok 4.3 peratus tahun ke tahun kepada 165.5 mata pada Ogos 2025, disokong oleh pertumbuhan dalam perdagangan borong (5.5 peratus), perdagangan runcit (3.7 peratus) dan kenderaan bermotor (3.1 peratus).
“Secara bulanan, indeks meningkat 0.1 peratus, manakala indeks pelarasan musim menyusut 0.5 peratus, menunjukkan penyederhanaan dalam aktiviti perdagangan bulan tersebut,” katanya.
Tambahnya, dari segi perdagangan luar Malaysia, prestasi perdagangan Malaysia bagi Ogos 2025 menunjukkan trend bercampur di antara sektor utama.
“Nilai eksport meningkat kepada RM131.6 bilion, menokok RM2.5 bilion atau 1.9 peratus tahun ke tahun. Sebaliknya, import menyusut RM7.3 bilion atau 5.9 peratus kepada RM115.5 bilion.
“Ini menyebabkan jumlah dagangan berkurang RM4.8 bilion atau 1.9 peratus kepada RM247.1 bilion berbanding Ogos 2024.
“Sementara itu, lebihan dagangan melonjak kepada RM16.1 bilion, meningkat RM9.8 bilion atau 153.8 peratus tahun ke tahun, peningkatan tahunan tertinggi sejak Disember 2020. Prestasi perdagangan Malaysia kembali stabil pada September 2025 dengan pertumbuhan 9.8 peratus,” katanya. – UTUSAN










