Dua rakan didenda RM5,000 menyamar polis - Utusan Malaysia

Dua rakan didenda RM5,000 menyamar polis

DUA lelaki yang didenda RM5,000 kerana menyamar sebagai anggota polis trafik di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gara-gara menyamar sebagai anggota polis trafik, dua lelaki menerima padah apabila masing-masing dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Wong Jiun Wei, 24, dan Lim Boon Ping, 40, juga berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, Jiun Wei dan Boon Ping didakwa telah menyamar sebagai anggota polis trafik dan memperdaya dua remaja berusia 15 dan 17 tahun dengan meminta wang untuk tidak mengeluarkan saman atau dibawa ke balai polis.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di hadapan sebuah restoran di Jalan Lebuh Bercham Selatan 1, Taman Ipoh Timur Baru, Ipoh pada pukul 12.38 pagi, 1 November 2025.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam bela, K. Nathan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman denda dengan nilai munasabah yang mampu dibayar anak guamnya.

“Tertuduh pertama iaitu Jiun Wei bekerja sebagai juruelektrik manakala Boon Ping pula pembantu kedai makan dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500. Kedua-dua mereka
memohon maaf dan telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Nishaalini bagaimanapun memohon mahkamah mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh dengan menyamar sebagai anggota polis dan meminta wang daripada pengadu selain terdapat rakaman video yang memaparkan perbuatan tersebut.

Sementara itu, dalam prosiding di mahkamah sama, Jiun Wei turut mengaku bersalah atas pertuduhan tanpa sebab yang sah memiliki peralatan polis iaitu topi berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertulis Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan kasut but JSPT bertulis PDRM di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 (Pindaan 2024) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Mohd. Harith kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau lima bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda selain memerintahkan barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan selepas tamat tempoh rayuan.

Kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN