Agrobank salur pampasan RM24.6 juta kepada 10,726 pesawah - Utusan Malaysia

Agrobank salur pampasan RM24.6 juta kepada 10,726 pesawah

MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (dua kiri) menyampaikan Skim Takaful Penanaman Padi kepada penerima di Kedah, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 10,726 pesawah tempatan telah menerima pampasan berjumlah RM24.6 juta di bawah Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) setakat ini, sebagai langkah melindungi kebajikan golongan tersebut daripada risiko luar jangka.

STTP yang diperkenalkan sejak September 2024 merupakan skim perlindungan khusus bagi menyediakan bantuan kewangan kepada pesawah berdaftar yang mengalami kerosakan tanaman akibat bencana alam, serangan perosak serta penyakit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, skim tersebut menawarkan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar bagi setiap musim penanaman untuk kerugian akibat bencana alam.

“Bagi kerugian yang disebabkan oleh serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman pula, perlindungan yang ditawarkan adalah sehingga RM1,500 sehektar bagi setiap musim.

“Skim ini bukan sahaja memberi perlindungan kewangan, malah membantu meningkatkan daya tahan pesawah dalam menghadapi risiko yang boleh menjejaskan sumber pendapatan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, penyediaan perlindungan seperti itu amat kritikal terutama dalam mendepani musim tengkujuh dan risiko banjir yang tidak menentu bagi memastikan kelangsungan pendapatan pesawah terus terpelihara.

Sehubungan itu, Agrobank menggalakkan para pesawah untuk segera melengkapkan proses pendaftaran melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing.

“Pesawah juga disaran membuka akaun Agrobank bagi memudahkan urusan tuntutan dan penyaluran pampasan dilakukan dengan lebih cekap.

“Melalui STTP, kami komited memperkasa sokongan kepada pesawah agar sektor penanaman padi negara kekal mampan, sekali gus menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×