Dituduh ambil dadah, Dafi tak terasa hati - Utusan Malaysia

Dituduh ambil dadah, Dafi tak terasa hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Terima kasih kepada yang bercakap.”

Demikian pesanan penyanyi dan pelakon, Dafi, kepada warganet yang sebelum ini mengaitkan penurunan berat badannya dengan penggunaan bahan terlarang.

Kata empunya nama penuh Gadaffi Ismail Sabri Yaakob, dia tidak terasa hati bahkan menerima telahan-telahan liar itu sebagai teguran kasih sayang.

“Yang bercakap itu sebenarnya risaukan keadaan saya. Sebab itu saya tidak terasa hati apabila dituduh guna dadah. Malah saya berterima kasih.

“Mereka seperti memberi teguran. Menyedarkan yang fizikal saya memang nampak terlalu kurus. Kerana cakap-cakap netizen itulah saya berhenti daripada terus mengawal pemakanan secara keterlaluan.

“Saya sendiri pun tidak sedar yang badan saya ketika itu terlalu kurus. Jadi saya hargai kata-kata netizen walaupun saya dituduh perkara yang saya tak lakukan,” katanya.

Kata Dafi, pengalaman berdepan penghinaan kerana berbadan besar ketika zaman kanak-kanak menjadi punca dia melakukan diet melampau.

“Berat badan saya pernah mencecah 97 kilogram (kg). Disebabkan berbadan besar, saya pernah teruk dihina. Pengalaman itu membuatkan saya paranoid sampai sekarang.

“Dulu, saya pernah mencampurkan 10 biji pelbagai jenis pil kurus untuk turunkan berat badan. Kemudian saya sedar yang tindakan itu membahayakan saya.

“Dan tidak lama sebelum ini, saya sekali lagi membahayakan diri, dengan keterlaluan mengawal pemakanan sampaikan saya tak sedar yang berat saya menurun secara tidak sihat. Sebab itu saya hargai apabila isu berat badan saya diperkatakan orang. Mereka sebenarnya telah menyedarkan saya,” kongsinya.

Dafi dalam masa yang sama turut menolak dakwaan yang mengaitkan masalah berat badannya dengan ‘buatan orang’.

“Saya beberapa tahun lepas pernah kena buatan orang, tapi tidaklah membuatkan badan saya jadi kurus. Sekadar menjadikan saya malas, asyik tidur sahaja.

“Kalau ada perkara pelik berlaku kepada diri sendiri, saya segera bertindak untuk pulihkan keadaan..

“Cuma, saya mahu jelaskan di sini, berat badan saya sebelum ini turun mendadak bukan kerana buatan orang,” kongsinya.

TAK TERBURU-BURU TAMATKAN ZAMAN BUJANG

Dafi tidak mengelak bila diajak berborak tentang jodoh. Panjang lebar penyanyi lagu Bila Terasa Rindu ini menerangkan kenapa dia masih belum menamatkan zaman bujangnya.

“Sebelum jadi suami, kenalah tengok diri sendiri, sedia atau tidak untuk pikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga?

“Saya tak mahu jadi lelaki yang bila sudah berkahwin, tak mampu pula jalankan tanggungjawab itu.

“Terus terang katakan yang saya selesa dengan jalan kehidupan saya sekarang. Pada saya, pasal jodoh ini, yang lelaki tak perlu pun terburu-buru. Lewat sedikit pun tak mengapa,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Dafi juga memaklumkan tidak mengendahkan pandangan negatif orang terhadap statusnya yang masih belum berkeluarga.

“Fasa takut dituduh bukan-bukan itu sudah berlalu. Saya sekarang ini sudah tak ambil peduli kata-kata negatif orang lain. Yang kenal diri sendiri adalah saya, bukan mereka,” kongsinya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN