PETALING JAYA: Kumpulan indie meningkat naik, Lokarya memperkenalkan lagu Deruan yang dirakam tiga tahun lalu.
Menurut pemain bass, Rafael Ahmad, kesemua anggota band tersebut sepakat untuk memperdengarkan semula lagu yang cukup bermakna buat kumpulan berkenaan.
“Deruan adalah lagu yang kami sayang. Tapi sekarang barulah ia sesuai diperkenalkan semula.
“Identiti kami sekarang lebih kuat, lagu ini pun berada pada tempat yang betul. Ia menggambarkan DNA Lokarya sebenar,” katanya.
Selain Rafael, kumpulan yang ditubuhkan pada 2019 ini dianggotai empat pemuzik muda antaranya Shaheth Naik selaku vokalis dan pemain gitar, Khairi Hamidi (gitar), Taka (keys) dan Amirul Zailan (dram).
“Lokarya adalah ruang eksperimen kami. Setiap lagu yang kami hasilkan bermula dengan perbualan tentang kehidupan, hubungan, kebingungan atau apa sahaja yang kami rasakan.
“Idea-idea itu kami gilap secara kolektif dalam studio rakaman.
“Muzik kami tidak terhasil dengan pengalaman persendirian, tetapi menerusi perjalanan kami sebagai satu kumpulan,” kata Shaheth Nair.
Amirul dalam pada itu memaklumkan dia dan rakan-rakannya sedang menyiapkan album pertama mereka yang dalam fasa terakhir untuk diselesaikan.
Katanya, antara keistimewaan album itu adalah apabila salah satu lagunya ditulis idola mereka, Noh Salleh.
“Kami membesar dengan karya-karya yang dihasilkan Noh. Kami merasakan band ini berada atas landasan yang betul apabila Noh bersetuju untuk membabitkan diri dalam pembikinan album pertama kami,” kongsinya. – UTUSAN










