KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini dijangka memberi tumpuan kepada tiga isu utama dalam sesi soal jawab lisan membabitkan bantuan kebajikan, pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan infrastruktur jalan raya di utara Semenanjung.
Antara persoalan yang dijangka menarik perhatian ialah daripada Cha Kee Chin (PH–Rasah) yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan langkah memastikan Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Elaun Orang Kurang Upaya (OKU) dan Bantuan Warga Emas disalurkan tepat pada waktu, susulan aduan penerima yang sering berdepan kelewatan.
Beliau turut menuntut penjelasan mengenai program khusus membantu ibu tunggal dan keluarga miskin bandar di kawasan Rasah.
Turut menjadi fokus, Yuneswaran Ramaraj (PH–Segamat) yang meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memperincikan strategi kerajaan memastikan syarikat di Malaysia dapat mengakses cip kecerdasan buatan (AI) daripada pembekal utama dunia, termasuk NVIDIA dari Amerika Syarikat dan Huawei Ascend dari China.
Isu ini dijangka menarik perhatian kerana ia berkait rapat dengan daya saing industri digital negara.
Selain itu, Roslan Hashim (PN–Kulim Bandar Baharu) dijangka meminta Menteri Kerja Raya menyatakan status pembinaan laluan memotong dan pemasangan lampu jalan di FT136, susulan laporan jalan berselekoh tajam antara Kulim dan Serdang yang sering menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna.
Selepas sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sambungan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar oleh kementerian berkaitan.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember ini. – UTUSAN










