PETALING JAYA: DAP mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu menjimatkan kos dan memudahkan gerak kerja pilihan raya, khususnya bagi Sarawak yang memerlukan perbelanjaan tinggi.
“Sudah tentu keputusan penting ini perlu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya akan berikan pandangan parti dan kami cenderung ia diadakan serentak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen DAP Johor 2025 di Segamat, Johor, semalam.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka terbubar secara automatik pada Disember tahun depan diikuti Sarawak dan Johor pada 2027. Keadaan itu sekali gus mewujudkan ruang teknikal untuk penyelarasan pembubaran dengan Parlimen jika ia ditetapkan lebih awal.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini turut me ngang garkan kos sebanyak RM420 juta bagi mengendal ikan enam pilihan raya negeri pada tahun lalu.
Sementara itu, PRN Sabah akan datang dijangka menelan belanja RM116.8 juta.
Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, Pakatan Harapan (PH) mengekalkan prinsip bahawa semua penyandang kerusi diberi peluang bertanding semula.
Beliau turut menegaskan rundingan dengan Perdana Menteri akan dibuat bagi memastikan kesinambungan kejayaan parti.
Katanya, beliau yakin DAP mampu mengekalkan dan menambah bilangan kerusi dalam pilihan raya akan datang, dengan syarat semangat ahli parti terus utuh.
“Bagi Johor, sekurang-kurang nya kita perlu mengekalkan kedudukan sedia ada iaitu lima kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN,” katanya.
Menurutnya, Johor merupakan negeri yang unik kerana di peringkat Persekutuan, PH bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), manakala di peringkat negeri, DAP bertindak sebagai pengimbang.
“Kerjasama ini akan berlarutan sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau turut menggesa jentera DAP Johor membantu kempen PRN Sabah yang dijadual diadakan pada 29 November ini dengan pengundian awal pada 25 November.
“Saya berharap Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dapat menggerakkan lebih ramai ahli untuk turun membantu rakan-rakan di Sabah menghadapi pilihan raya hujung bulan ini,” katanya. – UTUSAN








