GEORGE TOWN : DAP Pulau Pinang berpendirian jelas bahawa Pulau Pinang dan Kedah ialah dua negeri yang berasingan dalam Persekutuan Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Pengerusi DAP negeri, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan negeri Pulau Pinang daripada sebarang cubaan mempersoalkan kedudukan ini.
“Adalah lebih wajar sekiranya Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) menumpukan perhatian kepada usaha membangunkan negeri Kedah dan menjaga kebajikan rakyatnya, bukannya berpolitik tanpa henti.
“Pada masa yang sama, Pas Pulau Pinang dan rakan-rakan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) negeri perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada mereka akan ‘mengkhianati’ Pulau Pinang dengan bersetuju dengan tuntutan Pas Kedah terhadap Pulau Pinang (atau sebaliknya).
“Rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar mereka,” katanya dalam satu kenyataan sini, hari ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd. Nor sebelum itu dilaporkan berkata, pihaknya mengambil langkah untuk menuntut Pulau Pinang susulan keprihatinan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan dijelaskan secara telus termasuk perkara berkaitan pajakan.
Terdahulu iaitu pada 2021, kerajaan Kedah telah menuntut bayaran royalti pajakan Pulau Pinang sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan selepas ia tidak pernah dinilai semula sejak 1786.-UTUSAN










