CIMB sertai pasaran Bon Panda dengan terbitan RMB3 bilion

CIMB sertai pasaran Bon Panda dengan terbitan RMB3 bilion

KETUA Pegawai Eksekutif, Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei (kiri) dan Kaunselor Menteri, Pejabat Ekonomi dan Komersial Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia, Sun Shuqiang (kanan) pada majlis penerbitan Bon Panda CIMB di Pasaran Bon Antara Bank China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Bank Berhad (CIMB) membuat kemunculan sulungnya dengan terbitan Bon Panda bernilai RMB3 bilion (RM1.77 bilion) bagi tempoh tiga tahun di Pasaran Bon Antara Bank China, yang menawarkan kadar kupon tetap sebanyak 2.18 peratus.

Ini menjadikannya terbitan tranche tunggal terbesar oleh sebuah institusi Malaysia setakat ini.

Terbitan Bon Panda itu juga merupakan terbitan Bon Panda kedua terbesar oleh penerbit dari ASEAN setakat ini dan telah berjaya memperoleh kadar kupon terendah dalam rekod yang pernah dicapai oleh penerbit ASEAN.

Bon Panda yang diterbitkan oleh CIMB Bank Berhad telah diberikan penarafan AAA oleh China Chengxin Credit Rating Group (CCXI).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, terbitan itu mencerminkan keyakinan terhadap kekuatan kewangan dan rangkaian ASEAN CIMB yang pelbagai.

“Selaras dengan pelan hala tuju Forward30 kami, ini mengesahkan semula komitmen memperuntukkan semula sumber kepada projek pembangunan infrastruktur dan kelestarian yang memberikan nilai jangka panjang serta pertumbuhan mampan di China, Malaysia dan rantau ASEAN yang lebih luas.

“Kami berbesar hati dengan permintaan kukuh daripada para pelabur terhadap terbitan Bon Panda RMB3.0 bilion kami di Pasaran Bon Antara Bank China, yang menandakan terbitan tranche tunggal terbesar oleh penerbit Malaysia setakat ini.

“Pencapaian penting ini mengukuhkan peranan CIMB sebagai jambatan antara China dan ASEAN, sekaligus menambah momentum kepada usaha kami untuk mempercepatkan integrasi kewangan serta menggalakkan pelaburan dan perdagangan rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan.

Bon Panda tersebut menerima sambutan memberangsangkan dengan jumlah pesanan sebanyak RMB4.64 bilion (RM2.74 bilion), menunjukkan perluasan ketara dalam pangkalan pelabur CIMB dengan menarik minat pelbagai pelabur institusi dari dalam dan luar negara.

Hasil bersih daripada terbitan bon itu akan digunakan, terutamanya untuk memperluas perniagaan tempatan dan rentas sempadan CIMB, sekaligus membantu mengukuhkan perdagangan dan kewangan serantau dalam pelbagai sektor strategik utama.

Sebahagian daripada hasil tersebut akan dikekalkan di dalam negara bagi mengukuhkan pembangunan perniagaan CIMB di China, menegaskan komitmen CIMB terhadap pasaran China.

CIMB telah bekerjasama dengan konsortium yang terdiri daripada 11 institusi kewangan China, serantau dan antarabangsa bagi menjayakan terbitan Bon Panda tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×