China sokong muktamadkan Kod COC Laut China Selatan

China sokong muktamadkan Kod COC Laut China Selatan

Mohamed Khaled Nordin menyerahkan Deklarasi Bersama Kuala Lumpur kepada Dr. Kao Kim Hourn pada Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN Ke-19, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: China me­nyatakan sokongan ke atas usaha memuktamadkan Kod Tatakelakuan (COC) Laut China Selatan yang bertujuan memastikan keamanan, kestabilan dan kepercayaan di kawasan pertindihan itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu disampaikan Menteri Pertahanan China, Laksamana Dong Jun semasa sesi makan tengah hari Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 dan ADMM Plus ke-12 semalam.

Bagaimanapun katanya, segala kemajuan bergantung kepada perbincangan pihak yang terlibat termasuk negara anggota ASEAN.

“Beliau (Dong Jun) dengan jelas menyatakan bahawa China menyokong pembentukan COC di Laut China Selatan. Kami amat menantikan perkembangan tersebut.

“Segala kemajuan bergantung kepada perbincangan antara pihak-pihak yang terlibat, namun China telah menegaskan pendiriannya untuk mendukung keperluan mewujudkan Kod Tatakelakuan tersebut, “ katanya dalam sidang akhbar ADMM ke- 19 dan ADMM-Plus ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Rundingan mengenai COC Laut China Selatan di kawasan berkenaan setakat masih berjalan sehingga kini dan belum dimuktamadkan.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Perdana Menteri China, Li Qiang, bersetuju untuk mempercepatkan rundingan mengenai COC di Laut China Selatan bersama negara anggota ASEAN.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, proses memuktamadkan COC Laut China Selatan diketuai Kementerian Luar dengan penglibatan secara berterusan melibatkan negara anggota ASEAN dan China.

“Ia bergantung kepada perbincangan antara negara ASEAN dan China. Tetapi China mendukung positif keperluan COC Laut China Selatan,” jelasnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, walaupun isu Laut China Selatan tidak dibincang secara langsung dalam mesyuarat dua hala, ASEAN secara konsisten menekankan kepentingan menghormati undang-undang antarabangsa bagi elak pertikaian berlarutan.

“Untuk menangani sebarang ancaman atau cabaran dengan berkesan, kita mesti bertindak sebagai satu entiti. Hanya de­ngan bersatu, ASEAN akan dihormati dan diiktiraf sebagai sebuah kumpulan yang mempunyai matlamat bersama,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN turut menegaskan dalam dialog tidak rasmi ASEAN-China mengenai kepentingan mengaitkan kemakmuran dengan keamanan dan keselamatan.

Dalam pada itu, sebanyak 25 perkara dimuktamadkan dalam Deklarasi Kuala Lumpur antaranya memperkukuhkan ke­satuan dan Kepusatan ASEAN dalam hubungan dengan rakan luar melalui

ADMM-Plus bagi membina kepercayaan dan keyakinan serta mengukuhkan seni bina serantau yang terbuka, telus, berdaya tahan, inklusif dan berasaskan peraturan de­ngan ASEAN.

Penyerahan dokumen disempurnakan Mohamed Khaled kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn selepas berakhir ADMM ke-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN