TELUK INTAN: Kudung sebelah tangan akibat kemalangan jalan raya tidak menjadi penghalang seorang lelaki di Kampung Bahagia di sini melakukan kerja kampung untuk mencari rezeki.
Herry Nizam Salleh, 45, berkata, dia mengalami kudung tangan kiri sehingga paras siku selepas terpaksa dipotong akibat kemalangan jalan raya di Johor Bharu pada 2018.
Dia yang masih bujang berkata, pada awalnya dia hilang semangat dan tidak yakin dengan kemampuannya setelah hilang tangan kiri dan rasa putus asa untuk meneruskan hidup.
Namun, dia berusaha bangkit dalam kehidupan dengan melakukan pelbagai kerja kampung seperti mengambil upah meracun rumput di kebun penduduk kampung, menyelenggara bot fiber dan menjual lemang.
“Walaupun kudung sebelah tangan, saya boleh melakukan apa sahaja kerja kampung seperti orang normal.
“Jika sesuatu pekerjaan itu terlalu sukar, saya akan tetap berusaha melakukannya kerana bagi saya, saya masih ada tangan untuk bekerja dan kaki boleh lagi berjalan.
“Saya mahu membuktikan walaupun kekurangan dari segi fizikal, semangat mampu mengatasi segala kepayahan asalkan mahu berusaha,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, antara kerja kampung yang biasa dilakukan ialah mengambil upah meracun rumput dan menerima kerja sampingan daripada penduduk memerlukan khidmatnya.
“Walaupun berkeadaan begini, saya lebih selesa berdikari dengan bekerja daripada meraih simpati orang ramai, rezeki ada di mana-mana asalkan rajin.
“Biar pun dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya tetap bekerja, berdikari selagi mampu bekerja kecuali terlantar,” katanya. – UTUSAN










