Buka peluang pelajar cemerlang ubah nasib, kejar impian jurutera

Buka peluang pelajar cemerlang ubah nasib, kejar impian jurutera

PENERIMA biasiswa PETRONAS (dari kiri) Tan Zheng Li (Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (Instrumentasi) di Australia), Carrie Lee En Xi (Kejuruteraan Mekanikal di United Kingdom) dan Syed Salleh Syed Hashim (Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi PETRONAS) selepas Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan PETRONAS Powering Knowledge di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bercita-cita menjadi jurutera pelantar minyak suatu hari nanti, selain bertekad untuk mengubah nasib keluarga menjadi pendorong utama buat Syed Salleh Syed Hashim, 18, dari Muar untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) demi memastikan dirinya layak menerima tajaan pendidikan PETRONAS.

Usaha anak kepada pengawal keselamatan dan suri rumah itu membuktikan bahawa kesungguhan serta kerja keras mampu membuahkan hasil apabila memperoleh keputusan 9A+ 2A dalam SPM tahun lalu, selain tersenarai antara 650 pelajar yang menerima tajaan pendidikan PETRONAS.

Walaupun dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan, Syed Salleh sedar bidang kejuruteraan adalah satu-satunya cara untuk mengubah nasib dirinya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Pagoh itu berkata, minatnya dalam subjek matematik dan kimia di sekolah mula berkembang selepas terinspirasi dengan pengkongsian alumni Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Syukri Afifi di TikTok, yang menceritakan tentang dunia kejuruteraan kimia.

“Ibu dan ayah serta adik-beradik tidak belajar tinggi, jadi saya tidak didedahkan dengan kepentingan pelajaran. Tapi selepas lihat perkongsian itu, saya mula buat kajian dan dapati UTP antara universiti terbaik dalam bidang kejuruteraan kimia, namun yurannya agak mahal,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menyedari keluarganya tidak berkemampuan, Syed Salleh berkata, dia kemudian membuat carian lanjut mengenai setiap penajaan pendidikan untuk lepasan SPM termasuk tajaan pendidikan PETRONAS.

“Saya tiada kelas tambahan, jadi saya duduk lama di sekolah sehingga petang untuk bertanya kepada guru dan mentor (senior) selain membuat latih tubi bagi subjek matematik dan kimia. Akhirnya usaha itu berbaloi,” katanya yang memperoleh tajaan melanjutkan pelajaran ke UTP dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

Baginya, tajaan pendidikan PETRONAS bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga simbol kepercayaan terhadap potensi pelajar luar bandar yang berdaya juang tinggi.

“Tajaan ini mampu membuka peluang untuk mengejar cita-cita selain mengubah nasib diri dan keluarga. Saya bersyukur kerana menjadi satu-satunya pelajar di sekolah yang berjaya mendapatkannya,” katanya sambil tersenyum.

Bagi Carrie Lee En Xi, 18, yang berasal dari Melaka, minat mendalam terhadap bidang kejuruteraan sejak berusia enam tahun menjadi perangsang dirinya untuk memperoleh tajaan pendidikan PETRONAS bagi merealisasikan impian bergelar jurutera.

Bekas pelajar SMJK Tinggi Cina, Melaka, berkata, profesion bapanya sebagai seorang jurutera telah menjadi sumber inspirasi untuk dirinya melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Bagaimanapun, dia sedar impian itu mustahil dicapai tanpa motivasi yang tinggi walaupun agak ketinggalan dalam pelajaran ketika tingkatan satu hingga tingkatan tiga kerana terpaksa belajar secara dalam talian akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada 2020.

“Ketika itu, saya tidak mampu memberi perhatian sepenuhnya namun ketika tingkatan empat saya mula sedar kerana subjek semakin sukar, terutamanya sains, matematik dan fizik.

“Jadi saya mula belajar setiap hari untuk memahami asas dan konsep ketiga-tiga subjek itu. Akhirnya usaha berbaloi apabila memperoleh 7A+, 2A, 1A- sehingga membantu saya mendapatkan tajaan pendidikan PETRONAS,” katanya.

Kejayaan itu tidak akan dicapai sekiranya dia gagal mengatur masa antara pelajaran dan aktiviti kokurikulum.

Dia yang aktif dalam catur peringkat kebangsaan selain Presiden Kelab Catur dan Persatuan Bahasa Cina berkata, bakatnya turut diiktiraf apabila dilantik sebagai Ketua Pelajar.

“Saya seorang yang aktif bermain drum sehingga dapat mewakili negara ke Harbin, China.

“Suka saya berkongsi kepada bakal calon SPM supaya manfaatkan masa dengan pelbagai aktiviti bukan hanya melibatkan akademik, malah aktiviti yang berpotensi membentuk ciri kepimpinan, kesukanan dan kemahiran komunikasi.

“Dahulu saya beranggapan tajaan pendidikan PETRONAS hanya untuk pelajar berprestasi tinggi, namun sebenarnya ia turut menilai karakter dan usaha. Jangan takut untuk gagal kerana setiap kesilapan buat kita jadi lebih baik,” katanya.

Dia turut bersyukur menerima galakan dan sokongan penuh daripada keluarga terutama ibunya walaupun bidang yang dipilih didominasi lelaki.

Anak sulung daripada dua beradik ini kini sedang menyambung pengajian A Level di Kolej Yayasan UEM dan bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuteraan Mekanikal di Universiti Cambridge, United Kingdom.

Sementara itu, bagi Tan Zheng Li, 18, minat mendalam terhadap fizik dan teknologi mendorongnya ke arah dunia kejuruteraan. Dorongan bapanya yang juga pesara guru banyak membantu dirinya sehingga memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM untuk melanjutkan pelajaran di luar negara.

Anak kelahiran Melaka dan bekas pelajar SMK St. Francis ini menerima tajaan pendidikan PETRONAS untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Instrumentasi) di Australia.

“Minat mendalam dalam bidang kejuruteraan bermula kerana saya begitu suka dengan alam semesta dan fizik yang membuatkan saya ingin belajar lebih mendalam.

“Saya turut aktif melibatkan diri dalam pelbagai tugas berkaitan STEM seperti Samsung Solve for Tomorrow 2021 yang mana pasukan saya memenangi tempat pertama di peringkat kebangsaan.

“Tahun lalu, saya juga menang piala emas Pertandingan Sains Nuklear Olympiad Malaysia QE1 dan gangsa untuk QE2,” katanya.

Dia yang turut menjadi Presiden Kelab Kebudayaan di sekolahnya berkata, kelas peribadi selama dua jam yang dijalankan oleh gurunya sangat membantu dirinya memperoleh keputusan cemerlang sehingga berjaya menerima tajaan PETRONAS.

Selain itu, katanya, dorongan dan tunjuk ajar ayahnya sebagai bekas pendidik turut menjadi pemangkin untuk dirinya cemerlang dalam setiap perkara dilakukan agar dapat bergelar jurutera inovasi suatu hari nanti.

Malah, katanya, ayahnya merupakan individu yang menggalakkan dirinya memohon tajaan pendidikan ini.

“Ayah tahu saya sukakan fizik dan teknologi, lebih-lebih lagi topik elektromagnet. Jadi, beliau banyak menggalakkan saya menyertai pelbagai pertandingan STEM agar ia membuka peluang saya menjadi jurutera inovasi.

“Apabila dapat tahu PETRONAS membuka permohonan bagi tajaan pendidikan, saya terus memohon pada April lalu dan ketika itu saya diberikan tempoh lima hari untuk melengkapkan permohonan.

“Proses temu duga juga berjalan lancar kerana saya yakin dengan keupayaan diri dan akhirnya dimaklumkan antara penerima tajaan ini pada Julai lalu. Tentunya ayah sangat gembira kerana bukan mudah untuk dipilih.

“Apa yang boleh saya kongsikan kepada bakal calon SPM ialah rebut apa jua peluang yang ada dan jangan takut untuk mencuba kerana inilah yang akan membantu menggapai impian kita,” katanya.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Ruslan Islahudin yang menyampaikan tajaan itu baru-baru ini berkata, program tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi peluang untuk pelajar meluaskan ilmu dan kembali berbakti kepada masyarakat.

“Tajaan ini membuka laluan ke universiti terkemuka di dalam dan luar negara, melengkapkan pelajar dengan ilmu dan kemahiran untuk masa depan negara,” katanya.

Menurutnya, bagi tahun ini sahaja PETRONAS memperuntukkan RM319 juta di bawah program tajaan pendidikan yang memanfaatkan lebih 40,000 pelajar Malaysia sejak 1975.

Dari Muar ke Melaka, dari bilik darjah hingga ke universiti terkemuka dunia, kisah mereka membuktikan bahawa ilmu, usaha dan tekad mampu mengubah nasib mereka.

Bagi penerima-penerima ini, tajaan pendidikan PETRONAS bukan sekadar biasiswa, ia adalah tiket untuk membina masa depan, mencapai impian, dan kembali menyumbang kepada tanah air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN