BUDI95: Terminal MyKad diperkenalkan, mudahkan pengguna luar bandar

BUDI95: Terminal MyKad diperkenalkan, mudahkan pengguna luar bandar

PENGAMAL media terpaksa menempuh perjalanan jauh dan berulang-alik ke lokasi liputan setiap hari sehingga kuota 200 liter sering habis lebih awal sebelum hujung bulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) selepas ini akan lebih menyeluruh, inklusif dan berkesan menerusi penggunaan Terminal Mykad yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah itu bertujuan memastikan setiap pengguna yang layak dapat menikmati subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95 tanpa menghadapi masalah capaian internet.

Katanya, kerajaan mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh rakyat di kawasan pedalaman khususnya mereka yang tinggal jauh dari stesen minyak serta mempunyai akses terhad kepada bahan api bersubsidi.

“Sehubungan itu, kerajaan komited melaksanakan penambahbaikan secara berterusan. Antara langkah yang telah diambil adalah melalui penggunaan Terminal MyKad.

“Ia bukan sahaja boleh disambungkan kepada rangkaian WiFi, malah turut menyokong penggunaan kad SIM bagi memastikan capaian internet yang lebih stabil,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung jaminan kerajaan memastikan kelancaran pelaksanaan subsidi bersasar RON95 dan strategi bagi membantu memudahkan pengguna di luar bandar.

Hui Ying berkata, pihak kementerian akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha memperkukuh liputan rangkaian khususnya di kawasan pedalaman yang masih berdepan kekangan capaian. 

“Melalui usaha bersepadu ini, sebarang isu berkaitan akses internet di kawasan tersebut dapat dikenal pasti dan ditangani dengan sewajarnya serta pada kadar yang lebih cepat,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN