GEORGE TOWN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang belum menerima sebarang aduan berhubung menipu sukatan petrol di bawah inisiatif BUDI Madani (BUDI95) setakat ini.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, sebaliknya, aduan yang diterima hanya membabitkan isu teknikal dan kekeliruan dalam sistem susulan pengenalan inisiatif itu iaitu sebanyak 12 kes berbanding sembilan kes yang direkodkan sebelum ini.
“Kita dapati, majoriti kes hanya melibatkan kesilapan teknikal atau kekeliruan sahaja dan bukannya penipuan subsidi. Pihak ibu pejabat KPDN akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini dalam masa terdekat,” katanya selepas melancarkan Program Pasar Patuh (3P) di Pasar Chowrasta di sini, hari ini.
Menurut Jegan, hasil pemeriksaan berkala yang dijalankan ke atas semua stesen minyak setakat ini mendapati, rata-rata pengusaha mematuhi sepenuhnya peraturan ditetapkan oleh kementerian.
“Dalam hal ini, pasukan penguat kuasa KPDN akan menjalankan pemeriksaan harian secara bergilir bagi memastikan mereka (pengusaha stesen minyak) patuh akan arahan yang ditetapkan,” katanya yang memberitahu, pemantauan turut dibuat terhadap terhadap alat penyukat minyak bagi memastikan tiada unsur penyelewengan berlaku.
Mengulas pemantauan harga barangan pula, Jegan menjelaskan, pihaknya sedang meneliti kemungkinan kenaikan harga bahan mentah dan hasil laut berikutan permulaan musim Monsun Timur Laut (MTL).
“Apabila monsun bermula, bekalan ikan dan sayur-sayuran segar mungkin berkurangan sehingga menyebabkan permintaan meningkat dan harga sedikit naik.
“Bagaimanapun, KPDN akan terus memantau situasi ini,” katanya mengingatkan para peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara melampau sepanjang musim monsun ini. – UTUSAN










