LANGKAWI: Operasi mencari dan menyelamat insiden bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai etnik Rohingya di perairan sempadan Malaysia–Thailand menemukan lima lagi mayat, hari ini.
Penemuan itu menjadikan keseluruhan 18 mangsa maut setakat ini termasuk enam yang ditemukan oleh pihak berkuasa Thailand di perairan negara itu.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Romli Mustafa berkata, penemuan pertama pada pukul 12.47 tengah hari oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjumpai mayat kanak-kanak lelaki, kira-kira dua batu nautika barat daya Tanjung Belua.
“Beberapa minit kemudian, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula menemukan mayat seorang lelaki dewasa terapung di laut sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia dan diserahkan kepada pihak polis.
“Tidak lama selepas itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan penemuan mayat seorang wanita kira-kira tiga batu nautika barat laut Pulau Rebak Besar,” katanya sebentar tadi.
Romli berkata, pada pukul 3.31 petang, TLDM menemukan satu lagi mayat wanita terapung yang kemudian turut dibawa ke jeti Maritim Malaysia.
“Sementara itu, Pasukan Polis Marin (PPM) turut menemukan mayat lelaki terapung di laut dan dibawa ke jeti Harbour Park untuk tindakan lanjut.
“Sektor pencarian kini diperluaskan kepada 255.66 batu nautika persegi, melibatkan pelbagai aset laut dan udara daripada Maritim Malaysia, TLDM, PPM, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Tambah beliau, operasi ditangguhkan kira-kira pukul 7.30 malam berikutan cuaca gelap dan laut bergelora, sebelum akan disambung semula awal pagi esok. – UTUSAN










