LANGKAWI: Bot dinaiki pendatang asing tanpa izin (PATI) yang 10 daripadanya ditemukan hanyut serta seorang lemas di perairan negara dipercayai karam berhampiran Pulau Tarutao yang terletak antara sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis memaklumkan, bot membawa sekitar 300 penumpang dipercayai telah karam tiga hari lalu setelah berlepas dari Buthidaung, Myanmar.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada lagi penemuan mangsa yang mungkin masih berada di laut, berbanding 11 orang yang ditemui setakat ini.
“Malaysia bukan transit bagi sebarang cubaan kemasukan tidak sah ke negara ini dan setiap cubaan untuk memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran akan diambil tindakan tegas. Isu ini bukan sekadar kemanusiaan tetapi melibatkan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Romli, sindiket rentas sempadan kini semakin aktif mengeksploitasi migran dengan menjadikan mereka mangsa perdagangan manusia menggunakan laluan laut berisiko tinggi.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia. Semua yang terlibat akan diambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan beberapa mangsa disyaki imigran dari Myanmar ditemukan di sekitar perairan Langkawi dipercayai susulan insiden bot karam terbabit.
Romli berkata, dua lelaki dan seorang wanita Myanmar merupakan mangsa terawal ditemui hanyut di perairan Tanjung Chincin sebelum diselamatkan sebuah kapal kira-kira pukul 8.30 pagi yang membawa mereka ke Jeti Kilang Simen Teluk Ewa.
“Pada pukul 2.05 petang, aset PETIR 81 Maritim Malaysia menemukan pula mayat wanita terapung di laut dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Langkawi sebelum diserahkan kepada Polis Balai Kuala Teriang.
“Tidak lama kemudian, aset sama mengesan seorang lelaki Bangladesh di atas sebuah kapal layar, manakala aset BENTENG 7 menemui wanita Myanmar di atas sebuah vesel nelayan tempatan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, bot PETIR 81 mengiringi sebuah lagi kapal layar yang menemui empat lelaki Myanmar pada pukul 11.45 malam tadi, dan seorang lagi mangsa yang turut disyaki dari negara sama dijumpai oleh seorang pengawal keselamatan setelah dia terdampar di kawasan Kelab Golf Datai.
Menurut Romli, pihaknya bersama pasukan keselamatan lain sedang melaksanakan Operasi Guard 5.0 dalam usaha menjaga sempadan perairan Malaysia-Thailand serta mengekang kemasukan bot PATI khususnya dari Myanmar yang biasanya memasuki perairan negara pada hujung tahun.
“Pada masa sama orang ramai khususnya komuniti maritim seperti nelayan dan pengusaha bot pelancongan diminta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di laut dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 04-966 2750 / 04-966 5307,” katanya. – UTUSAN










