MUNGKIN ada yang terasa atau berkecil hati bila isu ini Poklip bahaskan.
Bukan apa, dalam kita menjadi seseorang yang mempunyai pengaruh, sudah pasti ada tanggungjawab sosial yang kita galas.
Poklip sendiri pun cukup berhati-hati sebelum menulis sesuatu. Adakah penulisan ini memberi impak? Ada mana-mana pihak yang mungkin terasa dengan teguran?
Apa implikasi artikel itu terutama kepada industri hiburan?
Baru-baru ini, tular di media sosial tentang rasa kurang senang terhadap perabadan cara bertanya, bahasa menyambut jawapan dan mimik muka moderator atau pengacara program audio siar.
Moderator atau pengacara itu seakan kurang ‘impak’ dan tidak menyambut jawapan tetamu jemputan sehingga ramai yang meluahkan rasa ‘menyampah’ dengan sesi audio siar tersebut. Kecoh juga.
Kadang-kadang Poklip sendiri tidak faham, bagaimana seseorang moderator itu boleh diangkat mengendali program audio siar? Lagipula, sekarang ini sesi podcast memang mencanak naik popularnya.
Tidak kira segmen seram, cinta, kelakar, kejayaan, automobil dan macam-macam, semua genre ‘tapau’.
Tetapi yang sering menjadi pertikaian, adalah berbentuk hiburan. Entah siapa-siapa moderatornya.
Kelakarnya, ada juga moderator dari gelanggang industri seni juga .
Tetapi mungkin dia bidan terjun atau syok sendiri sampai Poklip pun tidak faham bagaimana dia boleh yakin mengendali audio siar itu.
Tetamu baru sepatah melontar jawapan, dia sudah potong dan mula bagi input sendiri.
Terus cerita pasal diri sendiri, dia itu, dia ini. Kalau sekadar berkongsi tak apa, tetapi ini macam angkat bakul sendiri sahaja.
Sudahnya, tetamu sekadar jual muka. Cerita tak sempat habis, sebab dicaras limelight moderator tadi.
Kalau hendak cerita pasal diri sendiri, baik bermonolog sahaja. Pacak video, sendiri tanya sendiri jawab.
Itu belum lagi jenis yang suka buka aib.
Padahal kita sebagai seorang manusia, lebih-lebih lagi beragama Islam, pasti semahu dan sepaksanya menyimpan dalam aib sendiri. Tak mahu orang tahu, malu.
Tetapi ada segelintirnya sendiri buka aib malah siap korek cerita dalam kain tetamu. Tak kelakar ya.
Lebih kepada sesi memalukan dan mengundang kecaman. Tetapi mungkin itulah modus operandinya.
Bak kata seorang kawan Poklip, hendak popular sekarang senang.
‘Jual’ kebodohan sendiri, selapis demi selapis. Macam kuih lapis, tarik satu, ada satu lagi. Begitulah kebodohan orang gila publisiti.
Sebab itu ada yang marah bila industri seni dan hiburan kita dibanjiri dengan segelintir manusia gila glamor.
Mungkin mereka tahu, itu cara senang buat duit. Perlekeh, memalukan diri sendiri dan orang lain.
Cadangan Poklip, tak usahlah beriya buat audio siar. Ini asal ada peluang dan duit, terus laju hendak tunjuk bakat.
Tetapi sayang, bakat tiada yang ditunjuk adalah ceteknya pemikiran. Sayang seribu kali sayang.
Lebih menyedihkan, anak-anak muda generasi baharu ini mengidola dan menyanjung mereka.
Setiap kata dan laku diikuti, sebab minat dan dilihat berjaya. Jadi, itukah pengaruh yang anda ingin sampaikan?










