PUTRAJAYA: Agensi penguat kuasa tetap mengutamakan dan melaksanakan aktiviti penyelamatan jika berlaku insiden lemas melibatkan bot karam sekalipun mereka disyaki menceroboh perairan negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun menegaskan, sebarang cubaan menceroboh perairan negara termasuk oleh pelarian, penyeludup atau pun sindiket pemerdagangan manusia, tidak akan dibenarkan sama sekali.
“Sama ada istilahnya pelarian, penyeludupan manusia atau pemerdagangan orang, tugas utama agensi penguatkuasa adalah untuk menghalang mereka daripada memasuki perairan negara.
“Namun, kalau sudah berlaku insiden bot karam misalnya, kerja kita adalah menyelamatkan dahulu. Bila bot karam, kita biarkan dia (mangsa) mati lemas, itu zalim namanya, jadi kita selamatkan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan World Day Against Trafficking in Persons (WDAT) 2025 di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, Malaysia kekal komited menjalankan tanggungjawab kemanusiaan dalam situasi kecemasan, namun pada masa sama tetap berpegang pada prinsip kedaulatan dan keselamatan negara.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat (carilamat) mangsa insiden bot karam sedang giat dijalankan dengan kawasan pencarian meliputi kira-kira 250 batu nautika persegi.
Jelasnya, fokus operasi ketika ini adalah tertumpu sekitar lingkungan empat hingga lima batu nautika dari pesisir pantai negara dan semua mangsa yang ditemui sama ada terselamat mahu pun tidak, akan dibawa ke Pulau Langkawi.
Tambahnya lagi, mangsa yang ditemui dan berjaya diselamatkan sebelum ini akan disiasat oleh pihak polis bagi mengenal pasti status dokumen mereka.
“Pertama kita nak tahu sama ada mereka ada dokumen atau tidak, dokumen masuk ke nagara ini atau dokumen pengenalan diri. Jika tiada, mereka akan dikategorikan di bawah kesalahan Imigresen.
“Kemudian, kita akan kenal pasti negara asal dan siasat dari mana mereka mula berlayar serta lokasi terakhir sebelum kejadian berlaku,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan enam lagi mayat imigran, dipercayai mangsa bot karam, ditemukan terapung oleh pihak berkuasa Thailand di perairan sempadan Malaysia-Thailand semalam menjadikan keseluruhan mangsa yang ditemui setakat ini seramai 26 orang, iaitu 13 ditemukan masih hidup, manakala 13 lagi disahkan meninggal dunia. – UTUSAN










