Bersatu kekal stabil di sebalik pembersihan dalaman parti

Bersatu kekal stabil di sebalik pembersihan dalaman parti

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal stabil meskipun parti itu kini sedang membuat pembersihan dalam dengan menggantung dan memecat beberapa pimpinan yang melanggar peraturan.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, isu pergolakan dalaman yang berlaku sebelum ini telah diselesaikan dan pucuk pimpinan bersatu hati dalam meneruskan agenda perjuangan. 

“Kami akan terus berusaha dengan lebih gigih dan akan memperkukuhkan kerjasama dengan rakan-rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN).

“Bersatu kekal stabil. Masalah disiplin baru-baru ini adalah berpunca dari segelintir kecil pemimpin yang tidak berpegang kepada keputusan yg telah dibuat melalui Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. 

Mengulas pelantikan anggota Lembaga Rayuan, Ahmad Faizal berkata, pelantikan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sebagai Pengerusi dan empat ahli lain bagi mengikut kehendak dalam Perlembagaan parti yang perlu disegerakan bagi mendengar kes rayuan setelah Lembaga Disiplin menjatuhkan hukuman baru-baru ini.

“Langkah ini diambil bagi memastikan hak setiap ahli walaupun telah dijatuhkan hukuman masih berkelayakan untuk membuat rayuan,” katanya.

Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dalam mesyuarat khas sebulat suara bersetuju menghentikan kemelut dalaman parti demi mengukuhkan perpaduan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurut Muhyiddin, MPT sepakat bahawa sebarang isu atau pertikaian berbangkit sebelum ini perlu segera dihentikan bagi memastikan tumpuan parti kekal kepada kebajikan rakyat serta persiapan menghadapi pilihan raya.

Pergolakan Bersatu tercetus ekoran pemecatan Datuk Wan Saiful Wan Jan manakala Ahli Parlimen Machang yang juga MPT Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian selama satu penggal. 

Selain Wan Saiful, empat lagi pemimpin Bersatu dikenakan tindakan pemecatan ialah Mohd. Azrudin Md Idris dari Bahagian Hang Tuah Jaya; Mohd. Faizal Asmar (Pengerang); Mohd. Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd. Isa Mohd. Saidi dari Bahagian Ampang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN