Belgium baham Malaysia 9-1 - Utusan Malaysia

Belgium baham Malaysia 9-1

PEMAIN Malaysia, Akhimullah Anuar diasak pemain Belgium pada perlawanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Malaysia mengalami igauan buruk dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah apabila dibelasah Belgium 9-1 pada perlawanan di sini.

Dengan kekalahan itu, peluang Malaysia untuk ke pentas final kejohanan turut berkubur.

Manakala Belgium melonjak ke tangga teratas selepas mengutip 10 mata dan hampir pasti mara ke final.

Malaysia yang akan bertemu Korea dalam perlawanan terakhir esok menduduki tangga kelima dengan empat mata.

Ini adalah kekalahan terbesar oleh mana-mana pasukan dalam kejohanan edisi ke-31 itu setakat ini.

Apa yang pasti Speedy Tigers ternyata bukan tandingan pasukan ranking ketiga dunia itu.

Malah anak buah Sarjit Singh diperkotak-katik oleh lawan yang mendahului 6-1 pada separuh pertama.

Tom Boon dan Roman Dovekot masing-masing menyumbat dua gol dalam perlawanan ibarat guru dengan murid itu.

Manakala baki gol Belgium disumbangkan oleh Thomas Crols, Thibeau Stockbroekx, Alexander Hendrick, Tommy Willem dan Victor Foubert.

Gol saguhati Malaysia dijaringkan oleh Faizal Saari pada minit ke-13. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN