Belanjawan Perak 2026 catat peruntukan terbesar RM1.61 bilion - Utusan Malaysia

Belanjawan Perak 2026 catat peruntukan terbesar RM1.61 bilion

SAARANI Mohamad menunjukkan buku Belanjawan 2026 negeri Perak pada Persidangan DUN di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri hari ini membentangkan Belanjawan Perak 2026 bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ berjumlah RM1.61 bilion.

Ia merangkumi RM1.045 bilion peruntukan bagi perbelanjaan mengurus dan RM568 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Belanjawan berkenaan mencatatkan peruntukan tertinggi dalam sejarah negeri berbanding Belanjawan 2025 berjumlah RM1.52 bilion dan Belanjawan 2024 sebanyak RM1.35 bilion.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, belanja bagi maksud pembangunan tahun 2026 ditokok dalam jumlah yang besar iaitu RM30 juta dengan peningkatan 5.6 peratus berbanding tahun 2025.

Katanya, peningkatan itu bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat selain disokong oleh kedudukan kewangan kerajaan negeri yang positif.

“Jumlah belanja bagi maksud pembangunan RM568 juta ini mencatat rekod sebagai jumlah tertinggi yang pernah diperuntukkan oleh kerajaan negeri.

“Ini membolehkan pertumbuhan ekonomi negeri terus dipacu manakala pembangunan terus dilaksanakan selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya ketika Pembentangan Belanjawan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, belanja bagi maksud mengurus berjumlah RM1.61 bilion merangkumi emolumen RM496 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM385.9 juta), pembelian aset (RM13.9 juta), pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM143.8 juta) dan lain-lain perbelanjaan (RM5.9 juta).

Katanya, Belanjawan Perak 2026 dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan yang mencecah angka RM1.518 bilion iaitu peningkatan RM80.0 juta berbanding belanjawan tahun 2025.

“Daripada unjuran hasil dan perbelanjaan yang dibentangkan, penyata kewangan kerajaan negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2026 menunjukkan defisit RM95.5 juta.

“Angka ini tampak besar, namun ia adalah pilihan yang terarah dan objektif, keputusan berani untuk terus melabur pada projek-projek yang bakal memakmurkan negeri dalam jangka panjang,” katanya.

Tambah Saarani, belanjawan tahun ini memberi tumpuan kepada lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan negeri, pembangunan modal insan dan belia, kelestarian alam sekitar dan keterjaminan bekalan makanan.

“Belanjawan Perak 2026 dirangka untuk memastikan agenda Perak Sejahtera 2030 terus maju melalui dasar yang berwawasan dan kukuh demi kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN