IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bakal menerima peruntukan sebanyak RM130.8 juta menerusi Belanjawan Perak 2026.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah itu merupakan tambahan peruntukan sebanyak RM18.9 juta yang diterima oleh institusi agama negeri bagi memelihara dan memperkasakan syiar Islam melalui pelaksanaan pelbagai program kerohanian di negeri ini.
“Peruntukan sebanyak RM123.9 juta disediakan di bawah maksud mengurus bagi tujuan operasi jabatan, institut tadbiran Islam Perak, pengurusan masjid, sekolah-sekolah menengah tahfiz Darul Ridzuan dan sekolah-sekolah menengah agama Negeri.
“Bagi tujuan pembangunan pula, sebanyak RM6.9 juta disediakan untuk penyelenggaraan enam buah masjid utama negeri, menaiktaraf sekolah-sekolah menengah agama negeri dan sekolah menengah tahfiz Darul Ridzuan dan menaiktaraf pejabat-pejabat agama daerah,” katanya ketika berucap dalam Pembentangan Belanjawan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.
Menurut beliau, sebagai penegak hukum dan pemelihara institusi keluarga, peranan Jabatan Kehakiman Syariah terus diperkasa dengan peruntukan RM18.9 juta iaitu peningkatan RM1.5 juta berbanding tahun 2025.
Katanya, peruntukan itu meliputi RM17.7 juta di bawah maksud mengurus manakala RM1.23 juta diperuntukkan di bawah maksud pembangunan.
“Sebanyak RM2.7 juta diperuntukkan di bawah maksud mengurus kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak manakala Jabatan Mufti Negeri Perak pula menerima peruntukan berjumlah RM5.5 juta.
“Peruntukan tersebut bagi memastikan dua institusi itu dapat melaksanakan peranan dan fungsi penting dalam memastikan syiar Islam terus terpancar dalam kehidupan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, sebagai usaha yang berterusan untuk memperteguh keupayaan institusi-institusi ummah, kerajaan negeri meneruskan peruntukan RM15 juta bagi tujuan baik pulih dan bina baharu masjid dan surau.
“Selain itu, peruntukan sebanyak RM5 juta pula disediakan bagi program menaik taraf institusi pendidikan Islam,” katanya. – UTUSAN










