GEORGE TOWN : Seorang bekas timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM35,000.
Menurut sumber, wang itu diterima daripada seorang kontraktor sebagai balasan terhadap pemberian projek tender daripada jabatan tempat suspek bekerja.
Katanya, suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 50-an telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang, kira-kira pukul 10 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati, suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022 dan wang rasuah tersebut pula diterima melalui transaksi pemindahan wang ke dalam akaun bank peribadi miliknya dan juga secara tunai,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, suspek akan ditahan selama 24 jam sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM.-UTUSAN










