GEORGE TOWN : Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Peribahasa itu sesuai diguna bagi menggambarkan semangat serta keazaman tinggi seorang bekas banduan untuk membuktikan kemampuan dirinya bangkit melawan ketagihan dadah sekali gus menggenggam segulung ijazah di peringkat sarjana.
Meskipun berbangga dengan pencapaian tersebut, Mohd. Khairul Ab. Aziz, 43, yang juga graduan bidang Sains Kemasyarakatan dari Universiti Sains Malaysia (USM) gagal menahan sebak apabila berkongsi cerita mengenai pengorbanan terpaksa berjauhan lebih setahun dengan anak-anak yang kini di bawah jagaan bekas isteri.
“Sebenarnya, apa yang saya buat ini (sambung pengajian sarjana) adalah untuk memulihkan semula maruah saya yang tercalar (akibat dadah) dan membuktikan kepada anak-anak saya bahawa ‘papa’ mereka sudah benar-benar berubah.
“Ya, saya akui bahawa saya pernah buat silap dan tidak boleh membuang gelaran bekas banduan terutama apabila berhadapan dengan stigma masyarakat. Tetapi, saya mahu mereka tahu saya sudah cuba sebaik mungkin untuk tebus kesalahan yang lalu,” katanya.
Dia yang sebelum itu telah memiliki ijazah dalam bidang Kimia Industri pada 2006 turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama di negara ini yang menjalankan kajian mengenai penggunaan dadah kokain dan hasil kajiannya itu turut dimuatkan dalam Laporan Global Kokain oleh United Nations Office Drugs and Crime (UNODC) Vienna pada 2023.
Bapa kepada dua anak itu ditemui selepas Upacara Konvokesyen Ke-63 USM yang turut dihadiri oleh Naib Canselor universiti itu, Prof. Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Pengarah Penjara Seberang Perai, Rozita Muhamad Sharif serta dua penyelia pengajiannya iaitu Prof. Dr. B. Vicknasingam dan Prof. Madya Dr. Darshan Singh, petang semalam.
Bergelumang dengan dadah sejak di bangku sekolah atas alasan ‘suka-suka’, anak sulung daripada tiga beradik itu akhirnya ditahan dan dipenjarakan pada 2016 sebelum memutuskan untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana pada 2020 selepas mendapat inspirasi ketika mengikuti satu program bersama Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) semasa masih dalam tahanan.
Dia yang sebelum itu telah memiliki ijazah dalam bidang Kimia Industri pada 2006 turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama di negara ini yang menjalankan kajian mengenai penggunaan dadah kokain dan hasil kajiannya itu turut dimuatkan dalam Laporan Global Kokain oleh United Nations Office Drugs and Crime (UNODC) Vienna pada tahun 2023.
Mengulas mengenai kepayahan dan cabaran yang dilaluinya terutama semasa mengikuti pengajian ketika masih bergelar banduan, Mohd. Khairul berkata, dia memiliki akses yang terhad untuk menggunakan internet iaitu kira-kira setengah jam bagi setiap sesi selain sumber rujukan yang terhad.
“Hampir setiap malam juga iaitu selepas habis sesi kelas, saya akan berusaha mencari bahan rujukan untuk dicetak dan dibawa pulang ke sel sebagai bacaan tambahan dengan ditemani sorotan cahaya lampu koridor pada waktu itu.
“Alhamdulillah, urusan saya dipermudahkan dan adik saya juga banyak berkorban apabila sanggup menanggung yuran pengajian sepanjang saya belajar,” katanya yang sempat mengikuti pengajian tersebut selama lima bulan di penjara sebelum dibebaskan.
Tambah Mohd. Khairul, ketika ini dia enggan menoleh ke belakang lagi dan bertekad untuk terus melakar kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya termasuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran atau PhD selain berjaya dalam bidang perniagaan makanan ringan yang mula diusahakannya ketika ini.
“Saya harap, mereka yang pernah senasib dengan saya tetapi masih mempunyai keinginan untuk mengubah diri, jangan bertangguh lagi dan teruskan berusaha sehingga berjaya,” katanya yang turut berharap untuk dipertemukan semula dengan dua anaknya yang menjadi pembakar semangat buat dirinya selama ini. – UTUSAN










