TANJUNG MALIM: Bapa kepada dua pelajar yang terkorban dalam nahas bas di Gerik pada 9 Jun lalu sedih dan pilu apabila menerima ijazah sarjana muda secara anumerta arwah anak masing-masing pada hari pertama Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris Kampus Sultan Azlan Shah hari ini.
Bapa kepada Allahyarham Nurly Sahirah, Azman Mohamad, 63, tidak menyangka hadir ke majlis konvokesyen itu mewakili arwah anaknya bagi menerima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Penddikan Khas) dengan Kepujian.
“Saya menunjukkan ketabahan dan tidak mengalirkan air mata semasa mengambil sijil (ijazah anumerta) yang disampaikan oleh Canselor (Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim).
“Ketentuan takdir. Saya reda walaupun amat berhasrat untuk melihat arwah merangkul ijazah sendiri,” kata Azman ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Azman hadir ditemani isterinya, Kamariah Abdul Latif, 60.
Azman gembira kerana anak sulungnya Mohd. Najmuddin ingin menyambung pengajian dalam bidang yang sama di UiTM peringkat diploma secara pendidikan jarak jauh (PJJ).
Sementara itu, bapa kepada Allahyarham Fatin Nasrien, Fadli Abdul Rahman, 50, menyifatkan kehilangan anak sulung harapan keluarga itu sebagai ketentuan takdir.
“Benda sudah berlaku. Saya rasa gembira menerima ijazah (anumerta) ini hasil pengorbanan dia sendiri.
“Tetapi sedih lebih banyak daripada gembira kerana Allahyarham merupakan harapan keluarga ,” katanya yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan secara anumerta.
Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim tidak dapat menahan kesedihan sebaik sahaja berkenan menyampaikan ijazah kepada kedua-dua bapa waris tersebut.
Allahyarham Nurly Sahirah dan Fatin Nasrien antara 15 mangsa yang terkorban dalam nahas bas membawa penuntut universiti itu di Gerik pada 9 Jun lalu. – UTUSAN










