Bank Islam, PAAB tawar pembiayaan mampan patuh syariah

Bank Islam, PAAB tawar pembiayaan mampan patuh syariah

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar semasa pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir (tengah) di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) selaras dengan agenda nasional untuk memperkukuh ekosistem sektor air negara melalui pendekatan pembiayaan mampan dan patuh syariah.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, inisiatif itu menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Transformasi Air (AIR2040) yang memberi tumpuan kepada penerokaan model pembiayaan alternatif bagi mempertingkat kecekapan dan ketahanan sektor berkenaan.

Menurutnya, kerjasama tersebut turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menggalakkan sinergi antara institusi kewangan dan agensi utiliti bagi menyokong pembiayaan projek infrastruktur air negara.

“Kolaborasi antara PAAB dan Bank Islam menyokong keutamaan dalam Agenda AI2040, iaitu meneroka model pembiayaan alternatif bagi memperkukuh ekosistem sektor air,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bank Islam dan PAAB di sini semalam.

Beliau berkata, kerjasama itu turut sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh perkhidmatan air, memperluas pelaburan infrastruktur serta menangani isu berpanjangan seperti Air Tidak Terhasil (NRW), pembangunan kapasiti teknologi dan peningkatan daya tahan sistem bekalan air.

“Pendekatan seperti ini penting dalam memastikan perkhidmatan air negara bukan sahaja mampan, malah berdaya saing dalam jangka panjang dengan menggabungkan prinsip ESG dan pembiayaan patuh syariah,” tambahnya.

Melalui MoU berkenaan, Bank Islam menyasarkan pembiayaan bernilai RM100 juta kepada kontraktor PAAB menjelang 2026 bagi membantu pelaksanaan projek berkaitan aset air.

Majlis pemeteraian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Institusi Bank Islam, Sharifah Sarah Syed Mohamed Tahir berkata, selain kemudahan pembiayaan, kerjasama tersebut membolehkan kontraktor memperoleh akses kepada modal kerja dengan lebih cepat melalui pengesahan kontrak secara langsung dan mekanisme penyerahan pembayaran oleh PAAB.

“Ini bukan sahaja memperkemas proses dan meningkatkan ketelusan, malah membantu memastikan penyelesaian projek tepat pada masanya dengan aliran dana yang cekap di seluruh rantaian bekalan,” katanya.

Dalam pada itu, Ir. Zulkiflee Omar berkata, kerjasama tersebut mencerminkan pendekatan inovatif PAAB dalam memperkukuh pembangunan vendor dan memastikan kemampanan perniagaan kontraktor.

“Ia membantu merapatkan jurang kewangan yang dihadapi kontraktor melalui skim pembiayaan sesuai yang mengekalkan kestabilan aliran tunai serta memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual,” katanya.

Inisiatif pembiayaan ini dijangka menyokong pelaksanaan projek berkaitan aset air, mempercepatkan pengurangan NRW kepada 28 peratus menjelang 2030 dan membantu menjayakan agenda pembangunan mampan yang digariskan di bawah RMK13 dan Belanjawan 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×