ALOR SETAR: Sekumpulan rakyat Malaysia yang dua hari terperangkap banjir di bandar Hat Yai, Thailand nekad mengharungi air untuk keluar dari hotel penginapan mereka.
Wartawan dan juruhebah LangkawiFM, Wan Nur Asyikin Wan A’zemim, 33, bersama suami dan dua anaknya serta tujuh rakan lain antara yang mengambil peluang keluar dari hotel mereka selepas melihat banjir surut sedikit.
“Kami termasuk dua anak saya berusia lima tahun dan sembilan bulan kini berada di kawasan ASEAN Night Bazar untuk menunggu lori ke sempadan.
“Hujan masih lebat di sekitar Hat Yai sepanjang hari ini, tapi saya ambil keputusan keluar segera kerana keadaan semakin cemas, terutama apabila dua anak dalam keadaan letih dan lapar.
“Kami dimaklumkan sudah ada pengangkutan seperti lori cuma kena tunggu sebab kenderaan itu terpaksa bergerak perlahan di kawasan banjir,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Wan Nur Asyikin berkata, dua anaknya hanya mengalas perut dengan makan biskut kering memandangkan hampir kesemua kedai tutup akibat banjir.
Sementara itu, sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas mula bergerak pulang ke negara ini menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pergerakan kenderaan ke Thailand pada hari ini didapati berkurangan secara mendadak berikutan banjir di Hatyai.
Katanya, seramai 9,950 orang direkodkan ke Thailand, manakala seramai 5,537 orang masuk ke Malaysia pada kelmarin.
“Semalam, jumlah itu berkurangan kepada 5,812 orang ke Thailand dan 3,884 masuk Malaysia. Malah, ramai menangguhkan perjalanan dan berpatah balik sebaik mengetahui keadaan banjir di Hat Yai.
“Saya menasihatkan orang ramai agar menangguhkan dahulu perjalanan ke sana dalam seminggu dua ini sehingga keadaan banjir di sana pulih sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN







