ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini hanya seramai 1,072 orang berikutan keadaan yang semakin pulih.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan, hanya tinggal dua daerah yang mempunyai mangsa banjir iaitu Kubang Pasu dan Kota Setar selepas banjir di Kulim dan Pokok Sena pulih, beberapa hari lalu.
“Sehingga pukul 8 pagi ini, seramai 543 mangsa daripada 160 keluarga berada di lima PPS yang masih aktif di Kubang Pasu.
“Sementara di Kota Setar pula, mangsa banjir seramai 529 orang yang terdiri daripada 152 keluarga di enam PPS,” katanya di sini, hari ini.
Antara PPS yang masih aktif di Kubang Pasu adalah Dewan Kodiang; Sekolah Kebangsaan (SK) Malau; SK Padang Pekan; SK Bandar Baru Darulaman dan SK Tunjang.
Enam PPS di Kota Setar adalah SK Taman Aman; SK Taman Uda; SK Seri Perdana; SK Bukit Pinang; SK Sri Gunong dan SK Gunong. – UTUSAN










