Banjir: 500 orang rakyat Malaysia masih terkandas di selatan Thailand

Banjir: 500 orang rakyat Malaysia masih terkandas di selatan Thailand

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 500 orang rakyat Malaysia masih lagi terkandas selatan Thailand setakat semalam susulan hujan lebat dan banjir yang melanda wilayah itu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada masa yang sama, lebih 700 orang rakyat Malaysia telah dipindahkan ke Bukit Kayu Hitam, Kedah setakat semalam.

Katanya, secara keseluruhan, seramai 2,204 orang rakyat Malaysia telah berjaya melintasi sempadan melalui Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Wang Kelian sepanjang operasi penyelamatan yang digerakkan selepas hujan lebat melanda Hat Yai dan kawasan sekitarnya.

“Untuk masa sekarang, seramai 500 rakyat Malaysia masih lagi menunggu untuk diselamatkan. Mereka berada di beberapa lokasi, termasuk tiga hotel berhampiran sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang memintanya menyatakan usaha segera yang diambil kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di selatan Thailand susulan banjir yang berlaku, di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata, keadaan cuaca yang semakin baik membantu mempercepatkan usaha membawa keluar baki rakyat Malaysia yang masih terperangkap.

“Hujan sudah berhenti sejak semalam dan arus sungai mula perlahan. Pihak berkuasa Thailand menghantar beberapa bot pagi ini untuk mengambil penginap hotel yang masih terperangkap,” katanya.

Beliau menjelaskan beberapa laluan utama masih tidak boleh dilalui kenderaan ringan, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menggunakan kaedah alternatif.

“Kita terpaksa menggunakan kontena sebelum ini untuk membawa keluar mangsa kerana lori dan bas tidak boleh melalui kawasan banjir. Hari ini, bas sudah boleh masuk dan lebih ramai dapat dipindahkan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan akan meneruskan operasi sehingga semua rakyat Malaysia dibawa keluar dengan selamat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN