KUALA LUMPUR: Filem aksi-thriller tempatan, Banduan, terus mencipta gelombang apabila berjaya meraih kutipan pecah panggung RM6 juta hanya selepas dua minggu ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Kejayaan itu turut diperkukuhkan dengan pencapaian antarabangsa apabila nashkah adaptasi filem Tamil, Kaithi itu menerima tiga pencalonan utama di Anugerah Akademi Filem India Antarabangsa (IIFA).
Jurucakap Number Twenty One Media, Kalyana Devan berkata, selain pencapaian kutipan pecah panggung, pencalonan IIFA membuktikan Banduan mempunyai nilai komersial serta filem yang berkualiti tinggi.
“Penerimaan penonton terhadap Banduan sangat mengagumkan. Kutipan RM6juta ini membuktikan bahawa penonton tempatan hauskan naskhah berkualiti tinggi.
“Pencalonan IIFA menerusi tiga kategori Filem Antarabangsa Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik adalah bukti bahawa karya tempatan mampu berdiri setanding naskhah antarabangsa.
“Ini adalah pengiktirafan besar dan mengangkat usaha keras pasukan produksi serta barisan pelakon yang bekerja tanpa mengenal penat demi menyampaikan cerita terbaik,” ujarnya.
Banduan merupakan adaptasi daripada filem Tamil terkenal Kaithi (2019) dan menampilkan Datuk Aaron Aziz, Datuk Rosyam Nor serta barisan pelakon tempatan lain.
Filem arahan Kroll Azry ini mengisahkan seorang bekas banduan yang terperangkap dalam konflik besar ketika cuba pulang untuk bertemu anaknya, lalu membawa penonton menyelami perjalanan penuh aksi, emosi dan ketegangan.
Sementara itu, wakil Dream Warrior Pictures, Kathiravan berkata kejayaan itu membuktikan kerjasama antara dua negara mampu melahirkan karya bermutu tinggi.
“Banduan adalah hasil gabungan kepakaran Malaysia dan India. Pencalonan IIFA ini mengesahkan bahawa filem ini diterima baik oleh komuniti perfileman antarabangsa.
“Tanpa sokongan peminat, mustahil filem ini mencapai tahap ini. Kami amat bersyukur dan berbangga,” jelasnya.-UTUSAN










