Bagaimana menilai sebuah populariti? - Utusan Malaysia

Bagaimana menilai sebuah populariti?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN itu sebenarnya berlari-lari dalam fikiran Poklip. Bukan apa, kita lihat sekarang, lambakan majlis anugerah yang mengangkat populariti menerusi undian peminat. Dari dahulu memang sudah ada.

Tetapi dengan bergeraknya dunia ke arah modernisasi, sistem pengundian lebih mudah. Hanya di hujung jari, anda boleh memilih, mengundi dan menentukan siapakah artis paling popular mungkin untuk tahun tersebut.

Namun hakikatnya, bagaimana kita menilai sebuah populariti? Ada yang mungkin menang anugerah, ada dua atau tiga trofi dalam genggaman namun jika dikira dari ‘populariti’ kerjaya, tidak sehebat itu.

Malah, ada yang mungkin tidak pernah memegang trofi popular namun ada sahaja berita, kandungan media sosial atau namanya disebut-sebut di pelbagai ruangan komen. Itu juga popular kan.

Atau itu bergantung kepada suhu sensasi nama seseorang ketika itu? Poklip juga semakin ragu dengan relevansi sesebuah penganugerahan berdasarkan undian. Ini bukan soal ketelusan sama sekali ya.

Kita ambil contoh, jika kelab peminat atau artis A itu sendiri melabur puluhan mahupun ratusan ribu (ada ya), maka tidak mustahil namanya bukan setakat tercalon malah boleh merangkul torfi itu.

Acap kali isu sama diulang sebut setiap kali usai sesebuah penganugerah. Sampai kita sudah boleh hafal komen-komen yang bakal dilayangkan apabila artis yang tidak disangka-sangka menang.

“Dia ini siapa? Apa produk baharu?”

“Tak kenal pun boleh menang. Ini mesti beli undi.”

Soal beli undi itu pada Poklip terpulang. Kalau sudah sanggup melabur, kalau dia menang pun apa salahnya. Anugerah berdasarkan jumlah undian, bukan bancian umum artis mana paling popular.

Jadi jangan pula ada kelab peminat yang tidak berpuas hati jika artis kegemaran anda tewas. Siapa suruh tidak mengundi siang dan malam. Kalau boleh berbalas komen dan sinis di media sosial, takkan undi malas?

Jika diukur populariti menerusi media sosial, Poklip agak tahun ini akan jadi milik Fattah Amin dan Amira Othman. Lihat sahaja bagaimana ‘meganya’ capaian digital perkahwinan mereka jika dikumpul.

Kalau tidak mereka, mungkin Uqasha Senrose dan Kamal Adli. Radar populariti mereka mencanak. Carta berita sensasi dipenuhi dengan nama pasangan itu. Itu tidak mustahil, alang-alang kes cerai sedang berlangsung.

Atau mungkin, Aina Abdul sekali lagi. Tetapi sayang, ada sahaja yang tidak berpuas hati dengan kejayaan pemilik suara hebat ini. Bila menang, dikata tidak cukup layak. Hello, Anugerah Industri Muzik pun dia ‘tapau’ ya.

Tetapi bagi Poklip, popular sebenarnya adalah mereka yang bergelar pempengaruh terutama Tiktokers. Mereka punya kelompok peminat yang luar biasa. Kadang-kadang kita tidak kenal pun siapa dia.

Tetapi di media sosial mereka lebih popular berbanding artis. Lihat sahaja, ramai antara mereka diangkat sebagai duta atau wajah kepada produk tertentu. Pengaruh mereka lebih besar.

Zaman sekarang, kita sudah tidak boleh ‘kekwat’ (berlagak sombong). Jangan hendak rasa diri itu besar sangat sedangkan pencapaian dan populariti tidak seiriing. Biarlah kedua-duanya seiring, baru ada value.
Berbalik kepada soalan, bagaimana kita menilai populariti?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN