BAGAN DATUK: Artis terkenal, Datuk Awie dilantik sebagai duta alam sekitar negeri Perak sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2025 Peringkat Negeri Perak 2025 di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.
Pelantikan itu sehari sebelum ulang tahun kelahiran ke-57 Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman.
Menurut Awie, pelantikan sebagai duta adalah satu penghargaan dan komitmen kepadanya untuk memupuk dan memberikan kesedaran kepada orang ramai berhubung penjagaan alam sekitar.
Beliau menerima watikah pelantikan itu yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim.
Ahmad Zahid berkata, walaupun termaktub Deklarasi Langkawi Mengenai Alam Sekitar pada Oktober 1989 namun pendidikan dan kesedaran alam perlu dipertingkatkan.
“Tetapi kita lihat bahawa ia cantik di atas kertas tetapi penterjemahan pelaksanaan agak kurang.
“Itulah sebabnya kita mahu ikon-ikon, seniman-seniman, artis popular termasuk Datuk Awie menjadi duta alam sekitar,” katanya.
Katanya, pelantikan Awie diharap dapat menterjemahkan lagi kesedaran penjagaan alam sekitar termasuk penunggang motosikal berkuasa tinggi.
Ujarnya, soal alam sekitar bukan sekadar tanggungjawab Jabatan Alam Sekitar tetapi melibatkan semua pihak tanpa berkecuali. – UTUSAN










