Anwar disambut penuh simbolik di Ethiopia

Anwar disambut penuh simbolik di Ethiopia

ANWAR Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bole, Addis Ababa, memulakan lawatan rasmi 3 hari ke Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia. - Pejabat Perdana Menteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ethiopia bermula apabila beliau disambut rakan sejawatnya, Dr. Abiy Ahmed Ali yang memandu sendiri kenderaan rasmi sebaik beliau tiba di negara berkenaan.

Anwar menerusi hantaran di Facebooknya berkata, beliau kemudian di bawa ke Muzium Sains Ethiopia yang mempamerkan sejarah pembangunan sektor teknologi dan AI yang dipacu kerajaan pimpinan beliau.

“Alhamdulillah, saya dan delegasi teruja dengan mercu pembangunan yang dicapai Ethiopia, lantas menjadi antara negara yang pesat membangun di Tanduk Afrika,”katanya hari ini.

Anwar kemudian turut berkunjung ke Friendship Park yang menempatkan zoo dan arkib sejarah kenegaraan Ethiopia, selain menjadi pusat riadah dan rekreasi.

“Kemesraan yang ditonjolkan sangat dihargai tatkala kita berusaha untuk merapat serta meluaskan peluang serta potensi negara bersama Ethiopia,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Abiy dalam hantaran di laman X mengalu-alukan kedatangan Anwar dan delegasinya untuk lawatan rasmi selama tiga hari.

“Kehadiran anda adalah bukti sebenar persahabatan serta solidariti yang semakin kukuh antara Ethiopia dan Malaysia, dan ia berlaku pada detik yang amat penting buat negara kita,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, para pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN