KUALA LUMPUR: Pereka fesyen terkenal, Anuar Faizal mengangkat cabaran memodenkan batik ke tahap baharu menerusi 14 busana sempena Batik Lestari 2025, anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang kini memasuki tahun kedua penganjurannya.
Menampilkan 14 rekaan eksklusif, koleksi The Renaissance of Batik Malaysia itu menjadi bukti keberanian Anuar mendepani risiko dalam menafsir semula keindahan batik tradisional agar lebih segar dan relevan untuk generasi baharu.
Menerusi pendekatan berbeza, Anuar turut menjalin kerjasama dengan Penjara Marang, Penjara Kajang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Galeri Diraja Tunku Ja’afar, yang bersama-sama menghasilkan batik bermotifkan bunga Lado.
“Terus terang, saya bukan pengusaha batik, jadi bila pertama kali menerima cabaran ini, agak tertekan juga. Tambahan pula saya bekerjasama dengan pembuat batik yang sudah hebat dan berpengalaman, jadi ada beberapa do and don’ts yang saya perlu patuhi.
“Cabaran lain adalah masa. Saya cuma ada 10 hari untuk menyediakan 14 rekaan. Tetapi saya lihat ini membuka ruang saya meneroka pelbagai teknik termasuk batik lukis, cop batik dan cetakan digital (digital print) yang digabungkan bagi menggambarkan evolusi seni batik ke arah masa depan.
“Saya mahu sampaikan mesej bahawa batik ini untuk semua. Kalau kita lihat, batik boleh digayakan dalam pelbagai bentuk daripada sari moden, trench coat, baju kasual hingga ke busana formal, asalkan kita faham karakter dan keindahan coraknya. Saya percaya kalau kena gayanya, pakai batik tetap akan nampak cantik,” katanya lagi.
Mengulas lebih lanjut, Anuar menjelaskan bahawa tujuan utama koleksi ini adalah untuk memodenkan batik tanpa mengorbankan tradisi dan usaha itu memerlukan keberanian kerana melibatkan risiko besar dari segi penerimaan umum.
“Saya anggap ini satu risiko yang perlu diambil. Kalau kita tidak ambil langkah ini, kita tidak akan tahu siapa yang berani mencuba. Sebelum hasilkan koleksi ini, saya banyak buat rujukan dengan pakar-pakar batik lama dalam industri ini.
“Saya sangat menghormati pengusaha batik tradisional. Sebab itu, saya ambil pendekatan selamat untuk tidak keluar daripada motif dan warna tradisional. Apa yang saya buat hanyalah menyesuaikan batik supaya lebih mudah diterima oleh generasi baharu,” katanya.
Menurut Anuar, batik bukan sekadar corak atau fabrik, tetapi satu teknik yang diamalkan di rantau ASEAN dan menjadi titik pertemuan budaya serantau.
“Batik ini sebenarnya satu ‘connecting point’ antara negara-negara ASEAN. Ia adalah common ground yang menyatukan kita melalui seni dan budaya. Sebab itu saya juga banyak menyertai acara fesyen di luar negara untuk memperkenalkan seni dan budaya tempatan.
“Saya bukanlah saja-saja nak melompat ke luar negara, tapi saya tak puas kalau hanya jadi jaguh kampung. Saya mahu keluar daripada kepompong dan buktikan bahawa pereka Malaysia juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Itu strategi penting untuk kerjaya saya,” katanya.
“Lebih membanggakan, koleksi ini akan bergerak ke Manila selepas ini untuk diperagakan di pentas antarabangsa. Saya percaya itu akan membuka lembaran baharu dalam usaha memperkenalkan batik Malaysia sebagai simbol elegan dan inovatif di mata dunia,” kongsinya.-UTUSAN










