Amira Othman nafi mengandung - Utusan Malaysia

Amira Othman nafi mengandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Amira Othman menafikan dakwaan kononnya beliau sedang berbadan dua susulan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan, baru-baru ini.

Menurut Amira, beliau ditahan di wad bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami serangan bronkitis kali kedua yang menyebabkan saluran bronkus pada paru-paru mengalami keradangan.

“Alhamdulillah, keadaan saya semakin baik meskipun belum pulih sepenuhnya. Saya sebenarnya dimasukkan ke hospital kerana bronkitis dan ini sudah kali kedua saya mengalaminya.

“Saya agak sensitif, tambahan pula setiap hari kita keluar bekerja tanpa mengetahui keadaan persekitaran. Jadi, perkara seperti ini boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Buat masa ini, saya masih mengalami batuk yang agak lambat sembuh,” katanya.

Mengulas mengenai spekulasi yang tular, penyanyi lagu Hati-Hati itu tidak berkecil hati, sebaliknya menganggap perkara tersebut sebagai doa daripada para peminat.

“Spekulasi seperti itu sudah biasa sejak saya bujang lagi. Saya mohon doa yang baik-baik. Jika ada rezeki dan berita gembira pada masa sesuai, pasti saya akan kongsikan.

“Tapi saya ingin tegaskan, saya ke hospital kerana bronkitis. Saya mengalami kesukaran untuk bernafas,” jelasnya dalam satu temu bual bersama portal Gempak.

Amira turut memaklumkan beliau terpaksa membatalkan jadual penggambaran di Korea selepas dinasihatkan doktor supaya berehat.

“Sepatutnya saya ada penggambaran di Korea, tetapi doktor menasihatkan saya supaya tidak pergi kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan,” ujarnya.

Mengulas usikan netizen mengenai soal zuriat, Amira berkata, beliau menganggapnya sebagai lumrah.

“Benda baik kita aminkan. Belum kahwin orang tanya bila nak kahwin, sudah kahwin tanya bila nak ada anak, sudah ada anak pertama tanya pula bila anak kedua.

“Bagi saya itu semua lumrah. Tiada apa yang perlu saya kecil hati. Mudah-mudahan doa itu dimakbulkan Allah,” katanya.

Terdahulu, suaminya yang juga pelakon, Fattah Amin, meminta orang ramai mendoakan keadaan isterinya sambil memuat naik sekeping foto katil hospital menerusi media sosial.

Fattah dan Amira selamat bergelar suami isteri pada 14 September lalu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN