AGC fail rayuan kes Raymond, Amri Che Mat

AGC fail rayuan kes Raymond, Amri Che Mat

MOHD. DUSUKI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah memfailkan notis rayuan tersebut semalam.

“Kita telah failkan rayuan ber­hubung kedua-dua kes pada Khamis,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memutuskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia bertanggungjawab terhadap kehilangan Amri pada 24 November 2016, serta mengarahkan pembayaran ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3.26 juta kepada isterinya, Norhayati Mohd. Ariffin.

Ganti rugi itu merangkumi ganti rugi am dan teruk sebanyak RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta, ganti rugi khas RM14,457.52 dan kos prosiding RM250,000, selain faedah yang turut diberikan kepada plaintif.

Hakim Datuk Su Tiang Joo turut mengarahkan PDRM membuka semula siasatan kehilangan Amri bermula hari ini serta melaporkan perkembangan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.

Dalam keputusan berasingan, hakim sama turut memerintahkan kerajaan dan PDRM membayar ganti rugi kira-kira RM31 juta kepada keluarga  Raymond selepas mendapati kedua-dua pihak terbabit dalam penculikannya yang berlaku lapan tahun lalu.

Mahkamah mengarahkan kerajaan membayar pampasan berjumlah RM10,000 sehari bermula dari tarikh kehilangan Raymond pada 13 Februari 2017 sehingga tarikh polis mendedahkan keberadaannya.

Hakim Tiang Joo dalam keputusannya turut menyatakan satu atau lebih defendan terdiri daripada pegawai serta bekas pegawai polis didapati terlibat secara langsung dalam penculikan itu dan bertindak mengikut ‘satu arahan’.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN