JASIN : Biro Pengaduan Awam (BPA) menyasarkan setiap aduan yang diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) dapat diselesaikan dalam tempoh tidak melebihi tiga bulan sebagai langkah meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Ketua Pengarah BPA, Datuk Akbar Samon berkata, pihaknya kini sedang memperkukuh keupayaan sistem berkenaan agar setiap aduan dapat diurus secara lebih efisien dan responsif oleh agensi terlibat.
“Insya-Allah, kami di BPA berusaha agar setiap aduan yang diterima tidak mengambil masa lebih daripada tiga bulan untuk diselesaikan
“Ada aduan yang boleh diselesaikan dalam masa tiga hari sahaja manakala yang sederhana sekitar 15 hari waktu bekerja. Hanya kes yang kompleks sahaja mengambil masa lebih lama,” katanya pada Program Pulai Indah Fun Walk 3.0 di Padang Awam Taman Pulai Indah, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak BPA kini giat mempromosikan Sispaa kepada kementerian dan agensi kerajaan bagi memastikan aduan yang diterima sampai terus kepada pihak bertanggungjawab tanpa kelewatan.
Jelasnya, langkah itu juga membolehkan setiap aduan dipantau secara langsung bagi tujuan tindakan segera dan penilaian prestasi penyelesaian aduan.
“Sistem SISPA ini akan memudahkan aduan disalurkan terus kepada kementerian atau agensi bertanggungjawab tanpa kelewatan.
Dengan adanya Kamus Kategori Aduan baharu, semua agensi kini mempunyai garis panduan yang seragam dalam menguruskan aduan sama ada melibatkan penyampaian perkhidmatan atau penguatkuasaan.
“BPA telah memperkenalkan Kamus Kategori Aduan bagi menyeragamkan klasifikasi aduan di seluruh agensi kerajaan. Sebelum ini terdapat 10 kategori aduan, namun kini ia disusun semula kepada dua kategori utama iaitu penyampaian perkhidmatan (service delivery) dan penguatkuasaan (enforcement) dengan subkategori yang lebih terperinci,” katanya.
Akbar turut memberitahum Selangor mencatat jumlah aduan tertinggi di seluruh negara, kebanyakannya berkaitan isu jalan rosak serta kemudahan awam seperti tiang lampu yang tidak berfungsi. – UTUSAN










