6,222 rakyat Malaysia terkandas banjir Hat Yai diselamatkan

6,222 rakyat Malaysia terkandas banjir Hat Yai berjaya diselamatkan

BANJIR melanda Hat Yai yang menyaksikan ramai pelancong Malaysia terperangkap.– Facebook Hello Hatyai Dannok
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 6,222 rakyat Malaysia yang terkandas di Hat Yai, Thailand akibat banjir sejak 22 November lalu berjaya diselamatkan.

Kementerian Luar memaklumkan, ia termasuk 12 rakyat negara ini yang terperangkap dan dibawa keluar pada hari terakhir operasi menyelamat dijalankan semalam.

“Semua rakyat Malaysia terbabit sudah dibawa pulang ke tanah air melalui pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, semalam.

“Operasi menyelamat yang diselaraskan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bermula 22 November lalu itu dijalankan bersama 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan Malaysia.

“Walaupun ia dijalankan dalam keadaan mencabar, termasuk arus deras, paras air tinggi dan gangguan komunikasi, namun semua rakyat Malaysia yang terjejas termasuk mereka yang berada di lebih 150 hotel serta penginapan kecil berjaya dijejaki dan dipindahkan ke kawasan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Luar turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Thailand atas bantuan, penyelarasan dan solidariti tidak ternilai sepanjang usaha menyelamat serta NGO dan pasukan sukarelawan yang terlibat.

“Terima kasih atas khidmat bakti dan dedikasi yang mencerminkan semangat keprihatinan dan kerjasama sejajar dengan nilai-nilai Malaysia Madani.

“Komitmen mereka terhadap khidmat kemanusiaan tidak akan dilupakan dan sumbangan mereka mencerminkan nilai-nilai perpaduan dan empati yang menjadi asas masyarakat Malaysia,” katanya.

Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia yang mengembara ke kawasan berisiko banjir
bermusim agar mendaftar keberadaan mereka dengan wakil diplomatik Malaysia yang terdekat.

Katanya, ini bagi memastikan komunikasi dan bantuan dapat disalurkan dengan pantas sekiranya berlaku kecemasan terutamanya dalam tempoh cuaca buruk di rantau ini.

“Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla akan terus memantau keadaan semasa dan memberikan bantuan kepada mana-mana rakyat Malaysia yang masih memerlukan sokongan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN