Bollywood memang tak pernah sunyi dengan filem-filem yang sarat emosi, aksi dan lagu yang terus melekat di telinga.
Tidak hanya di dunia Bollywood sendiri, filem-filem karya tempatan India terus mendunia dengan kutipan mencecah jutaan ringgit.
Jika minggu lepas kita menyenarai enam karya Korea Selatan paling berjaya, minggu ini Pancaindera menghimpunkan lima filem Bollywood paling berjaya sepanjang zaman pula.

RRR (2022)
Epik arahan S.S. Rajamouli ini menyatukan dua pelakon popular Ram Charan dan Jr. NTR dalam kisah dua wira yang berjuang menentang penjajahan British.
Menampilkan Alia Bhatt dan Ajay Devgan, RRR menggabungkan visual luar biasa, aksi gempak dan emosi mendalam. Selain berjaya mengutip lebih RM752 juta, runut bunyi filem ini, Naatu Naatu turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Akademi ke-95.

JAWAN (2023)
Karya arahan Atlee Kumar ini memperlihatkan Shah Rukh Khan melakonkan dua watak serentak dalam kisah penuh aksi dan mesej sosial.
Ditemani Nayanthara dan Vijay Sethupathi, Jawan menyentuh isu keadilan rakyat dengan cara yang segar dan berbeza. Hasilnya, filem ini mencatat kutipan lebih RM658 juta, menjadikannya antara filem paling laku dalam sejarah Bollywood moden.

BONUS: DILWALE DULHANIA LE JAYENGE (1995)
Walaupun tidak tersenarai dalam kutipan tertinggi, Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ) kekal sebagai filem paling ikonik dalam sejarah Bollywood.
Arahan Aditya Chopra dan dibintangi oleh Shah Rukh Khan serta Kajol, filem ini mula ditayangkan pada 20 Oktober 1995 dan masih ditayangkan di pawagam Maratha Mandir, Mumbai hingga ke hari ini!

DANGAL (2016)
Arahan Nitesh Tiwari, lakonan hebat Aamir Khan dalam watak Mahavir Singh Phogat menjadikan Dangal antara filem paling berinspirasi.
Mengangkat kisah benar seorang bapa yang melatih dua anak perempuannya hingga menjadi juara dunia gusti wanita ini menyentuh hati jutaan penonton.
Dibantu oleh Fatima Sana Shaikh dan Sanya Malhotra, filem ini mencatat kutipan luar biasa lebih RM1.41 bilion di seluruh dunia, menjadikannya filem Bollywood paling berjaya sepanjang zaman.

GADAR 2 (2023)
Diarahkan oleh Anil Sharma, sambungan kepada filem klasik Gadar: Ek Prem Katha (2001) ini membawa semula gandingan Sunny Deol dan Ameesha Patel dalam kisah cinta merentasi sempadan India dan Pakistan.
Dengan gabungan nostalgia dan semangat perjuangan, Gadar 2 berjaya mengutip lebih RM470 juta, sekali gus membuktikan filem old school masih ada tempat di hati penonton moden.










