IPOH: Jumlah penduduk yang terjejas banjir di negeri ini meningkat kepada 4,597 setakat pukul 10 pagi ini berbanding 4,363 mangsa pada pukul 8 pagi tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, jumlah itu melibatkan 1,517 keluarga yang kini ditempatkan di 42 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah.
Menurutnya, Manjung mencatat daerah paling tinggi jumlah mangsa iaitu seramai 1,830 di 15 PPS, diikuti Perak Tengah 1,308 mangsa di sembilan PPS.
“Hilir Perak mencatat 685 mangsa di enam PPS, Bagan Datuk 509 mangsa di empat PPS dan Larut Matang Selama mencatat 165 mangsa di empat PPS.
“Lain-lain daerah terjejas banjir ialah Muallim 107 mangsa, Kuala Kangsar 68 mangsa dan Batang Padang tiga mangsa,” katanya. – UTUSAN










