36 pelajar UUM terkandas banjir selamat pulang ke tanah air

36 pelajar UUM terkandas banjir selamat pulang ke tanah air

KESEMUA 36 pelajar UUM yang terkandas banjir di Hat Yai tiba dengan menaiki bas milik PSU di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Kesemua 36 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyertai satu program di Hat Yai, Thailand selamat tiba ke tanah air setelah terperangkap banjir besar melanda bandar itu sejak Jumaat lalu.

Mereka tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada pukul 6.20 petang tadi dengan menaiki bas milik Prince of Songkhla University (PSU) setelah berjaya dipindahkan pihak berkuasa negara itu dari hotel.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, dua pensyarah yang turut serta dalam program itu juga dibawa pulang.

“Namun, dua lagi pensyarah pengiring yang tinggal di hotel berasingan akan tiba lewat sedikit pada hari ini ekoran kerja penyelamatan mereka sedikit sukar berikutan arus di sekitar hotel itu masih deras.

“Alhamdulillah keadaan para pelajar baik namun mereka sedikit keletihan setelah enam hari terkandas di Hat Yai tanpa makanan berzat dan juga minuman yang terhad,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ahmad Martadha turut berkunjung ke Hat Yai hari ini bagi mengiringi proses membawa pulang kesemua mangsa terbabit yang terdiri daripada pelajar Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA).

Kesemua mangsa berada di Hat Yai bagi mengikuti Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 selama tiga hari bermula 20 hingga 22 November lalu.

Menurut Ahmad Martadha, operasi membawa pulang para pelajar dan pensyarah terlibat bukanlah semudah yang disangka kerana membabitkan negara berbeza.

“Wangburapa Grand Hotel pula sangat dekat dengan sungai menyebabkan arus air terlalu deras, selain ketinggian paras air mencecah 10 kaki.

“Alhamdulillah, mereka berjaya juga dibawa pulang hasil doa seluruh rakyat Malaysia dan dibantu juga Kementerian Pendidikan Tinggi, Wisma Putra, Konsulat Malaysia dan badan bukan Kerajaan (NGO),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN