36 kanak-kanak GISBH di bawah seliaan JKM masih bersekolah - Utusan Malaysia

36 kanak-kanak GISBH di bawah seliaan JKM masih bersekolah

SALBIAH Mohamed semasa Persidangan Sidang Dewan Undangan Negeri Perak hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 36 kanak-kanak berkaitan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang kini berada di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih meneruskan pendidikan di sekolah.

Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pemantauan secara berkala dijalankan bagi memastikan kanak-kanak itu tidak tercicir dalam pembelajaran.

Katanya, daripada 36 kanak-kanak berkenaan, empat orang telah melebihi usia 18 tahun manakala 13 orang lagi berumur enam tahun ke bawah.

“Bagi kanak-kanak GISBH, mereka ini di bawah seliaan pegawai pelindung JKM. Selain seliaan dan lawatan ke rumah secara berkala, JKM turut mengadakan sesi seliaan bersama ibu bapa dan penjaga.

“Kita cuba melakukan sehabis baik untuk kanak-kanak yang masih bersekolah. Seliaan dan pemantauan dijalankan bagi memastikan tidak berlaku keciciran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Faisal Abdul Rahman (Trong-PN) pada Persidangan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, bagi penjagaan kanak-kanak, JKM Perak mengendalikan tiga institusi iaitu Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz di Kuala Kangsar, Sekolah Tunas Bakti di Taiping dan Taman Seri Puteri, Batu Gajah.

Katanya, sehingga November 2025, 231 kanak-kanak bersamaan dengan 51.3 peratus pengisian berada di institusi tersebut atas perintah mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

“Penempatan kanak-kanak itu dilakukan setelah mereka dikenal pasti memerlukan perlindungan dan penjagaan sama ada kerana menjadi mangsa pengabaian, penderaan, eksploitasi atau tinggal dalam persekitaran keluarga yang tidak selamat.

“Bagi sebahagian remaja perempuan, penempatan turut memastikan mereka mendapat perlindungan khusus serta persekitaran selamat daripada sebarang risiko eksploitasi,” katanya.

Tambah beliau, institusi JKM bukanlah tempat hukuman tetapi ruang perlindungan, pemulihan dan pembangunan menyeluruh untuk membina peluang baharu dan memberi peluang kedua kepada kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN