KUALA LUMPUR: Sebanyak 338 kes penyalahgunaan kad pengenalan (MyKad) direkodkan antara 2021 hingga Oktober tahun ini melibatkan kad pengenalan palsu dan penggunaan kad pengenalan milik orang lain.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia membabitkan 3,418 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi membanteras kesalahan berkaitan penyalahgunaan kad pengenalan dan sijil kelahiran.
“Sepanjang tempoh itu, 1,377 tangkapan telah dibuat dengan 843 kes didakwa di bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 manakala 525 kes lagi di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
“Baki sembilan kes pula tidak membabitkan pendakwaan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH–Wangsa Maju) mengenai jumlah tangkapan dan pendakwaan kes penyalahgunaan kad pengenalan termasuk kecurian identiti, penjualan kad pengenalan serta strategi kerajaan bagi melindungi data pemilik.
Menurut Saifuddin, daripada jumlah keseluruhan tangkapan, 338 kesalahan dikenal pasti membabitkan penyalahgunaan kad pengenalan di bawah Peraturan 25 (1) (e) iaitu 232 kes menggunakan kad pengenalan palsu dan 106 kes melibatkan penggunaan kad pengenalan milik orang lain.
“Pecahan lanjut menunjukkan 172 kes melibatkan warga Filipina, 132 kes warga Indonesia, manakala 34 kes melibatkan warganegara lain.
“Sebahagian daripada kes ini telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mengikut peruntukan undang-undang manakala selebihnya masih dalam proses siasatan dan pendakwaan,” katanya.
Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaksanakan strategi menyeluruh bagi membendung kegiatan tersebut membabitkan aspek penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan awam.
Katanya, daripada sudut penguatkuasaan, JPN bersama agensi lain mempergiat operasi bersepadu membanteras penyelewengan, pemalsuan dan penjualan kad pengenalan.
“Sebuah pasukan khas siasatan di bawah JPN turut ditubuhkan khusus bagi mengesan sindiket penjualan identiti. Selain itu, naziran bersepadu dan pemeriksaan mengejut dijalankan secara berkala bagi memastikan setiap prosedur kerja dipatuhi sepenuhnya.
“Kerajaan komited memastikan keselamatan data identiti rakyat sentiasa dilindungi serta tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dokumen pengenalan diri negara,” katanya. – UTUSAN










